KUALA LUMPUR – Seorang buruh binaan terpaksa meringkuk tiga tahun dalam penjara sebagai balasan melarikan dan mengurung lelaki warga Palestin di sebuah chalet empat tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Arief Emran Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Edy Ko’im Said, 46, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Mahkamah memerintahkan Edy Ko’im menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan pindaan, Edy Ko’im didakwa melarikan mangsa berusia 31 tahun dengan niat supaya individu itu dikurung secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi, di sini pukul 10.40 malam pada 28 September 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadhir Mohd. Khairudin memaklumkan, sebelum ini tertuduh didakwa atas tuduhan menculik, namun representasi yang dihantar diterima dan pertuduhan pilihan ditawarkan kepada lelaki tersebut.
“Pihak kami mohon tertuduh dikenakan hukuman penjara yang sewajarnya dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius,” katanya.
Bagaimanapun peguam Kelvinder Singh Sidhu merayu hukuman penjara minimum kerana anak guamnya perlu menyara isteri serta tiga anak.
Sementara itu, bagi tujuh lagi tertuduh yang berdepan kes menculik mangsa, perbicaraan diteruskan ke atas mereka hari ini.
Mereka ialah Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 45, Mohamad Naziree Mustapha, 45, Faizull Hardey Mohd. Isa, 46, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 31, Mohd. Zaidi Mohd. Zain, 60, Nidarahayu Zainal, 40, dan Raibafie Amdan, 45.
Kesemua tertuduh didakwa dengan niat bersama menahan mangsa di lokasi dan waktu sama untuk mendapatkan ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Tengku Arif Bongsu serta pasangan suami isteri, Nidarahayu dan Raibafie turut berdepan 19 lagi tuduhan berjumlah lebih RM250,000 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 10 Julai 2025, Mohamad Norakmal Hassan, 46, Mohd Azwan Jamaludin, 42, Dody Junaidi, 47, Mohamad Sufian Saly, 28, Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54 dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28, dipenjara lima tahun atas pertuduhan pilihan kerana melarikan dan mengurung mangsa sama. – KOSMO! ONLINE














