Presiden Kelab Media Putrajaya, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan (dua dari kiri) bersama ahli KMP selesai membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya hari ini.

Tukar muka media jadi lembu, KMP buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kelab Media Putrajaya (KMP) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Putrajaya susulan tindakan sebuah akaun media sosial mengubah imej jurugambar dan wartawan menjadi lembu ketika menjalankan tugas membuat liputan kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusara Negara semalam.

KMP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius janaan imej itu dan mengecam tindakan pemilik akaun media sosial berkenaan.

“Lebih mengecewakan, imej tersebut disertakan dengan kapsyen ‘Akal waras semakin sukar ditemui’ yang dilihat sebagai penghinaan terhadap petugas media yang sedang melaksanakan tanggungjawab profesional.

“KMP ingin menegaskan petugas media tidak menerima sebarang pemakluman rasmi mengenai sekatan atau larangan rakaman daripada pejabat Tun Dr. Mahathir dan keluarga di lokasi berkenaan,” katanya hari ini.

Tangkap layar hantaran yang dimuat naik pengguna akaun Threads tersebut.

Tambah KMP, pengamal media yang bertugas sentiasa memahami etika kewartawanan serta menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga, khususnya ketika membuat liputan dalam suasana dukacita.

“Kehadiran petugas media adalah sebahagian daripada tanggungjawab untuk mendokumentasikan peristiwa penting buat masyarakat dan negara.

“KMP memahami hak setiap individu untuk mengkritik namun, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merendahkan atau menghina petugas media,” katanya.

Jelas KMP, sebarang teguran hendaklah dibuat berdasarkan fakta dan konteks sebenar sesuatu kejadian.

“Tindakan mengubah imej petugas media menjadi haiwan adalah sesuatu yang biadap, tidak beretika dan tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Satu laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dibuat KMP agar tindakan sewajarnya diambil terhadap pemilik akaun berkenaan.

“KMP akan terus mempertahankan maruah, keselamatan dan hak warga media untuk menjalankan tugas secara profesional tanpa penghinaan atau serangan peribadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN