Rohu merupakan ikan pendatang yang telah lama bermastautin di negara kita. Banyak kawasan bekas lombong bijih timah di serata Perak menjadi habitatnya. Berapakah saiz terbesar dan bagaimana hendak mencari ikan ini?
Negara kita sebenarnya telah dijajah oleh pelbagai spesies ikan asing atau ikan pendatang sejak sekian lama.
Spesies ikan ini masuk sebagai ikan untuk industri ternakan ataupun akuarium. Berkemungkinan, tanpa pantauan atau kurangnya penguatkuasaan undang-undang menyebabkan banyak ikan ini terlepas di perairan awam.
Pada masa sama, ada juga kes orang yang tidak bertanggung jawab melepaskan ikan ini ke pelbagai perairan di negara kita.
Akibatnya, ada spesies ikan ini menjadikan sesuatu perairan itu sebagai habitatnya dan dapat berkembang biak dengan baik berdasarkan keadaan bentuk muka bumi, air dan cuaca yang baik.
Contohnya, ikan rohu (Labeo rohita) yang berasal dari India. Menurut rujukan, ia dibawa masuk ke negara kita semenjak tahun 1950-an hingga ke 1960-an sebagai sumber makanan tambahan kepada penduduk di dalam industri akuakultur.
Ikan ini dibela dan dibiakkan di dalam bekas lombong sama ada di dalam sangkar atau lepas bebas begitu sahaja.
Apabila perairan penternakan ini habis dituai, ada pengusaha meneruskan industri dan ada meninggalkannya terutama ketika harga pasaran rohu tidak baik.
Akibatnya, ada sesetengah lombong di Perak terutamanya di Tapah, Mambang di Awan, SMTD, Air Kuning, Tronoh dan beberapa lagi lokasi ada populasi ikan rohu yang banyak kerana dapat membiak dengan baik.
Malah, ada ikan-ikan ini terlepas ke dalam Sungai Perak kerana ada lombong-lombong yang bersambung dengannya.
Namun, mencari ikan rohu bersaiz monster bukannya mudah kerana ia lebih cerdik dan culas.
Sejarah lombong
Mencarinya pula memerlukan pemancing arif tentang ‘sejarah’ sesuatu lombong itu.
Sejarah yang dikatakan ini termasuklah lombong-lombong yang berpuluh-puluh tahun pernah membela ikan rohu di dalamnya.
Kemudian, ada sahaja rekod ikan-ikan ini yang bersaiz kasar dinaikkan di lombong sama berkali-kali oleh pemancing sekitar.

Jadi, perlu juga berkawan dengan ramai pemancing tempatan bagi mendapatkan info terkini.
Saya pula sangat bertuah kerana berkenalan dengan Ruzairy Arbi yang sejak dari kecil telah menjelajah segenap inci kawasan lombong-lombong tinggal di sekitar Tapah bersama-sama arwah bapanya.
Jadi, dia arif di mana hendak mencari ikan rohu bersaiz trofi.
Menurutnya, biarpun ada lombong sudah bertahun-tahun tidak dilawati, namun jika populasi ikan rohu di dalamnya tidak diganggu dengan aktiviti memukat dan sebagainya, peratusan ia mahu makan umpan di tapak pancingan masih lagi tinggi.
Jadi, saya pernah melihat paparan gambar-gambar tangkapan ikan rohu gadang di laman Facebook miliknya. Ini membuatkan saya meÂrancang satu trip untuk menduga ikan rohu di sana.
Peralatan
Awal-awal lagi, dia sudah menasihatkan supaya membawa set pancing yang kuat kerana banyak kali tali utama sekuat 20 paun (lb) ‘meletup’ begitu sahaja pada pecutan pertama rohu di lombong tersebut.
Oleh itu, saya bersedia dengan joran sepanjang tujuh kaki berkekuatan 10-20lb dengan kekili spinning saiz 3000 yang diisi tali braided 20lb.
Perambut pula setebal 40lb diikat di tali braided.
Nasihatnya lagi, ikan rohu saiz besar jarang mengambil gewang, ia lebih mudah dipujuk dengan menggunakan umpan dedak berperisa istimewa seperti yang selalu dibancuhnya.
Umpan dedak itu pula dikepal di mata kail bom (spring) yang perambutnya sekuat 40lb dan perlu diikat sendiri kerana apa yang dijual di kedai pancing tidak cukup kuat untuk mengekang tenaga ikan rohu bersaiz besar.
Rasuah
Kunci utama bagi mencari ikan rohu ini adalah proses merasuahnya. Kebiasaannya, Ruzairy akan menggunakan umpan rasuah yang sama digunakannya bertahun-tahun.
Apa bancuhannya tidak menjadi keutamaan, asalkan ia sama resipi. Sebabnya, itu cara bagi ‘mengajar’ ikan rohu di tapak pancingan tersebut untuk tertarik dengan rasuah yang digunakannya.

Ikan ini pula seolah-olah sudah tahu di mana hendak menunggu rasuah dan sentiasa berlegar di perimeter sama. Ada situasi yang umpan tidak perlu dilempar jauh, jarak antara 10 hingga 12 kaki dari tebing, ia berani mera-
pati, asalkan ada sedikit cerunan (drop-off).
Ketika trip tersebut, kami sampai awal pagi lagi dan proses merasuah terus dilakukan, kawasan pancingan perlu sentiasa dilempar dengan dedak rasuah.
Tidak terlalu banyak sehingga ikan menjadi terlalu kenyang dan tidak terlalu sedikit sehingga ia hilang minat. Tanda-tanda kehadiran kumpulan ikan rohu ini boleh diketahui berdasarkan buih-buih halus yang terbit di sekitar kawasan rasuah kerana ia sudah menyelongkar dasar.
Selepas itu, tunggu sahaja tali menegang diikuti ‘jeritan’ drag apabila ikan makan umpan.
Jika ia berjaya dinaikkan, kena bersabar menunggu ikan seteÂrusnya kerana proses merasuah harus dilakukan semula.
Hari itu, kami berjaya menaikkan empat ekor ikan rohu bersaiz gadang dengan saiz ter-
berat 9.6 kilogram. Itu pun ada yang tidak dapat dinaikkan akibat henjutan yang langsung tidak dapat dihentikan.
Begitulah sesi mencari rohu saiz besar di bumi Perak ini, kuantiti bukan satu ukuran, tetapi saiz trofi yang menjadi idaman.
















