PETALING JAYA – “Alhamdulillah, saya nak kongsikan berita baik. Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan secara langsung perlawanan Harimau Malaya.”
Itu perkongsian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ramai penyokong bertanyakan kepadanya mengenai saluran siaran langsung perlawanan Harimau Malaya dalam saingan FIFA ASEAN Cup 2026.
Beliau berkata, siaran langsung itu akan bermula dengan perlawanan menentang Bangladesh, esok.
“Ayuh, kita beri sokongan padu kepada pasukan negara!,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, sebentar tadi.
Terdahulu media melaporkan, penantian para penyokong Harimau Malaya untuk mengetahui saluran manakah yang akan menyiarkan secara langsung aksi pembukaan Piala ASEAN FIFA 2026 akhirnya terjawab.
Ia susulan RTM mengesahkan bakal membawa perlawanan Malaysia menentang Bangladesh ke kaca televisyen, esok.
Hari ini menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi RTM, saluran televisyen kerajaan itu mengesahkan siaran eksklusif perlawanan Malaysia menentang Bangladesh yang dijadual berlangsung di Jakarta. – KOSMO! ONLINE
















