Trip memancing kali ini kami menggunakan perkhidmatan bot Beylie VVIP3. Bot bersaiz 45 kaki panjang dan 9.5 kaki lebar ini digerakkan oleh dua buah enjin berkembar Honda 250 kuasa kuda. Bot diparkir di Setiu, Terengganu.
Saya merasakan trip sedikit janggal kerana kami langsung tidak disarankan membawa peralatan pancingan yang normal diperlukan dalam setiap sesi memancing di laut seperti, mata kail, batu ladung, swivel, playar dan lain-lain.
Pemancing hanya dibolehkan membawa satu atau dua set pancing, satu set sebagai peralatan utama dan satu set lagi sebagai simpanan.
Sebaik menaiki bot, barulah saya memahami sebab saranan sebegitu diberikan. Saya melihat perambut T (3 way swivel) bermanik sepanjang sedepa beserta dua mata kail berkembar telah tersedia sebanyak lebih kurang 20 unit tersangkut rapi di dua tempat.
Semua ini rupa-rupanya sudah termasuk dalam pakej pancingan kami.
Bermula misi
Bot kami berlepas dari jeti sekitar pukul 9.40 pagi, dan tiba lebih kurang satu jam di lokasi pertama dengan umpan ikan selayang, tamban, kembung yang telah dibelah dua dengan ekornya dibuang. Ia disediakan oleh pembantu tekong, Ku Ari.
Sebaik tiba di lokasi pancingan yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari Pulau Redang, seperti kebiasaan pancingan dasar secara bot berhanyut (bottom drift), tekong
Achai membunyikan hon sekali sebagai tanda bersedia.
Kemudian, dua kali hon dibunyikan tanda sudah boleh menurunkan umpan.
Kami memulakan hari dengan tangkapan ikan kerapu saiz hidangan. Lebih kurang 20 minit kami berada di lokasi ini, tekong berpindah lubuk yang tidak jauh dari situ.
Di lokasi baharu, kami menaikkan ikan ketambak dan kerapu saiz lebih besar berbanding dengan lubuk yang awal tadi.
Dalam melayan ikan-ikan tersebut, tiba-tiba joran saya melentur dengan perlawanan yang agak mencemaskan. Lebih kurang 10 minit kemudian, seekor ikan merah berjaya dinaikkan ke dalam bot. Selepas ditimbang beratnya, genap pada angka lima kilogram (kg).
Lima minit selepas itu, Iqbal pula mendapat seekor lagi ikan merah dengan anggaran saiz kira-kira 2kg.

Selepas itu, tiada lagi tangkapan yang mengujakan yang kami dapat. Sebaik selesai makan tengah hari, kami berpindah lubuk dan di sini banyak ikan ketambak dinaikkan sehingga semua peserta berpuas hati.
Bagi yang berposisi di bahagian belakang bot dan menggunakan set pancing elektrik, mereka banyak mendapat ikan kerapu diselangi dengan ibu kerisi.
Hari kedua
Pada pukul 6.30 petang, bot bergerak pulang ke Pulau Redang yang menjadi tempat kami beristirehat dengan menginap di calet untuk mandi, makan malam dan tidur.
Semuanya telah termasuk dalam pakej trip itu.
Pada pukul 7.45 pagi keesokkan harinya, semua peserta telah berada di dalam bot. Perjalanan sejauh kira-kira 60 kilometer barulah kami tiba di lubuk pertama.
Di sini, Yen mendapat seekor ikan kerapu bara seberat lebih kurang 2kg sebagai pembuka tirai pancingan.
Ini diikuti dengan beberapa ekor ikan ketambak dan ibu kerisi oleh yang lain-lain.
Pada pukul 10 pagi, bot berpindah lokasi dengan perjalanan mengambil masa lebih satu jam sehingga kelihatan Pelantar Minyak Monrovia dari kejauhan.
Seperti lubuk-lubuk yang sebelum ini, ikan kerapu serta ketambak mendominasi hasil pancingan.
Hairan, di lokasi yang jauh ini ikan saiz kasar seolah-olah bersembunyi.
Pada pukul 3 petang, tekong mula menghalakan bot ke arah perjalanan balik dan berhenti di beberapa lagi lokasi sebagai usaha untuk menambah hasil tangkapan.
Samud menjadi peserta terakhir mendapat tarikan daripada ikan cermin sebagai penutup tirai trip.
Jam menunjukkan pukul 5.40 petang, di mana sesi pancingan ini berakhir secara muktamat dan bot terus bergerak pulang sehingga tiba di jeti pada sejam kemudian.
Keseluruhannya, kami berpuas hati dengan perkhidmatan bot terutamanya bantuan tekong dan awak-awaknya. Selepas ini, pasti pancingan di perairan Pulau Redang akan masuk dalam kalendar pancingan kami pada setiap tahun.














