PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan daripada pemain yang mengugut untuk meninggalkan badan induk itu, sebaliknya mengingatkan segala isu perlu diselesaikan menerusi saluran perbincangan secara profesional.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, pemain tidak seharusnya melupakan peranan badan induk itu dalam membentuk karier mereka, termasuk menyediakan kemudahan latihan dan sistem pembangunan yang sistematik.
Menurutnya, kejayaan memenangi gelaran besar bukan alasan untuk mana-mana pemain menggunakan kedudukan mereka bagi memberi tekanan kepada persatuan.
“Pemain datang dari mana? Masa kecil-kecil mereka berlatih di mana? Mereka berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM). Daripada mereka tiada apa-apa dan sekarang mereka sudah ada sesuatu, siapa yang membantu mereka? BAM.
“Kalau setakat menang gelaran juara dunia kemudian gunakan itu untuk memberi tekanan kepada persatuan, saya rasa persatuan tidak takut. Pengurusan baharu BAM memang tidak takut, saya boleh beritahu terus,” katanya ketika dihubungi.
Chong Wei berkata sedemikian bagi mengulas mengenai situasi beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik yang memberi bayangan sedia mempertimbangkan untuk bergerak secara profesional agar memastikan gandingannya bersama Aaron Chia tidak dipisahkan dalam misi memburu emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Ketidaktentuan masa depan beregu negara itu timbul ekoran rombakan drastik barisan kejurulatihan di bawah kendalian Herry Imam Pierngadi yang menyaksikan beberapa gandingan elit mula diuji dengan pasangan berbeza.
Mengulas lanjut, Chong Wei mengingatkan bahawa tindakan meninggalkan BAM bukanlah mudah kerana kedua-dua pemain itu masih terikat kontrak sehingga 2028.
“Jangan cakap mahu keluar BAM atau apa-apa untuk memberi tekanan kepada persatuan. Gunakan saluran yang betul,” katanya.














