Mohd. Zamani mengharapkan keajaiban berlaku ke atas isterinya yang terlantar sakit akibat kanser otak di rumah mereka di Taman Seremban Jaya, Seremban.

Dulu isteri rajin masak, kini terlantar akibat kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Setiap kali terhidu bau lempeng atau jemput-jemput, Mohd. Zamani Misdan pasti teringatkan isterinya yang sebelum ini begitu rajin menyediakan juadah untuk keluarga.

Bagaimanapun, sejak Azizah Ahmad, 58, disahkan menghidap kanser otak tahap tiga, kehidupan pasangan itu berubah.

Mohd. Zamani, 50, berkata, isterinya mula mengalami kebas pada kaki sebelah kiri pada Oktober tahun lalu sebelum keadaan bertambah buruk sehingga beberapa kali terjatuh.

“Pada mulanya saya urutkan kerana ingat kebas biasa, tetapi selepas seminggu keadaan makin teruk dan kami bawa ke hospital.

“Doktor kesan tumor di otak­nya dan pembedahan dijalankan untuk membuangnya. Selepas sampel diperiksa, doktor sahkan kanser otak tahap tiga,” katanya di Taman Seremban Jaya di sini.

Menurutnya, keadaan Azizah semakin kritikal selepas pembedahan pertama apabila dia tidak sedarkan diri.

“Dia dibawa semula ke hospital dan doktor melakukan pembedahan kecemasan untuk membuka tempurung kepala bagi memberi ruang kerana tekanan dalam kepala.

“Selepas tujuh hari di Unit Rawatan Rapi, barulah dia sedar, tetapi sejak itu dia tidak boleh berjalan,” katanya.

Katanya, isterinya kemudiannya menjalani pembedahan ke­dua, namun ketumbuhan kembali tumbuh.

“Pembedahan ketiga berisiko dan kemoterapi juga tidak sesuai kera­na tubuhnya tidak kuat,” katanya yang kini tidak lagi bekerja kerana perlu menjaga isterinya sepenuh masa.

Pasangan itu mempunyai tiga anak berusia 36, 32 dan 26 tahun, manakala anak sulung mereka orang kurang upaya (OKU).

Keluarga itu juga perlu menanggung perbelanjaan kira-kira RM3,000 sebulan untuk keperluan penjagaan Azizah.

“Paling tinggi susu khas, kira-kira RM1,200 sebulan. Satu tin RM120 dan hanya bertahan dua hari setengah. Mesin oksigen pula RM300 sebulan, selain lampin pakai buang dan alas sekitar RM350 berserta keperluan-keperluan lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 101244387186 atas nama Mohd. Zamani Misdan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN