32 peratus rakyat Malaysia mendapatkan kandungan daripada inuencer dan pencipta kandungan yang memberi tumpuan kepada bahan berita.

Audiens jadi rebutan media dan personaliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJATUHAN industri media Malaysia tidak boleh lagi dilihat semata-mata sebagai akibat kemunculan media sosial atau perubahan tabiat pembaca.

Data terkini menunjukkan perubahan itu memang berlaku pada skala besar, tetapi persoalan lebih penting ialah sejauh mana organisasi media berjaya menyesuaikan diri.

Berdasarkan temu bual Kosmo! bersama Koordinator Prasiswazah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Dr. Norhisam Bulot, masalah paling besar bukan audiens yang berubah, sebaliknya kegagalan organisasi mengubah model perniagaan, struktur pengurusan dan budaya kerja mengikut perubahan tersebut.

Angka daripada Reuters Institute Digital News Report 2026 menggambarkan tekanan itu dengan jelas.

Penggunaan media cetak sebagai sumber berita di Malaysia merosot daripada 45 peratus pada 2017 kepada hanya 14 peratus pada 2026.

Pada masa sama, 32 peratus rakyat Malaysia mendapatkan kandungan daripada influencer dan pencipta kandungan yang memberi tumpuan kepada berita.

Ini menunjukkan persaingan media hari ini bukan lagi sekadar antara akhbar atau portal berita, tetapi dengan personaliti dan platform yang mampu mendapatkan perhatian audiens secara langsung.

Krisis itu turut mempunyai dimensi kewangan. Perbelanjaan pengiklanan keseluruhan di Malaysia dilaporkan merosot 22 peratus pada 2025 dan dijangka susut lagi 9.5 peratus pada 2026.

Lebih ketara, perbelanjaan pengiklanan digital jatuh 39 peratus pada 2025, dengan persaingan daripada media sosial, enjin carian dan platform perdagangan langsung menjadi antara tekanan utama.

Keadaan ini menguatkan hujah bahawa bergantung kepada iklan, trafik dan jumlah klik semata-mata bukan lagi strategi yang mampan.

Norhisam turut menegaskan, klik dan views tidak semestinya menghasilkan pembaca setia atau pendapatan jangka panjang, namun aspek yang lebih kontroversi ialah persoalan pengurusan.

“Politik pejabat, pemikiran konservatif dan lantikan berdasarkan favouritisme boleh melemahkan keputusan organisasi, menyebabkan kehilangan bakat dan menjejaskan daya saing.

“Dalam keadaan industri memerlukan perubahan pantas, struktur pengurusan yang lambat membuat keputusan boleh menjadi beban yang lebih besar daripada perubahan teknologi itu sendiri,” ujarnya.

Katanya, transformasi digital juga tidak sepatutnya sekadar memindahkan kandungan ke portal atau media sosial.

Ujarnya, cara menghasilkan kandungan, mengukur prestasi, memahami audiens dan menjana pendapatan juga perlu berubah secara menyeluruh.

“Persoalannya bukan mengapa audiens meninggalkan media tradisional, tetapi mengapa sesetengah organisasi gagal bergerak bersama audiens.

“Dalam dunia yang kandungannya semakin banyak, masa depan media bukan ditentukan oleh siapa yang menghasilkan berita paling banyak, tetapi siapa yang mampu membina kepercayaan, memahami audiens dan menukarkan kepercayaan itu kepada model perniagaan yang mampan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN