Penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza daripada Sunway University mengundang kritikan apabila ada yang mempersoalkan kelayakannya seolah-olah lebih tiga dekad berkarya tidak membawa nilai ilmu hanya kerana pengalaman itu tidak bermula di dewan kuliah.
Di sinilah letaknya kekeliruan. Ijazah kehormat bukan pengganti kelayakan akademik, sebaliknya pengiktirafan terhadap sumbangan, kepakaran dan pencapaian luar biasa.
Lebih 30 tahun berkarya, membina nama dan kekal relevan dalam industri yang berubah pantas bukanlah pencapaian lahir daripada nasib semata-mata.
Adakah ilmu hanya sah melalui kuliah, peperiksaan dan sekeping sijil? Hakikatnya, pengalaman juga sebuah sekolah. Seniman belajar daripada pentas, studio, produksi, persaingan, kegagalan dan kehendak khalayak. Ilmu sebegini tidak semuanya tercatat dalam buku teks, tetapi terbukti melalui karya dan pencapaian.
Datuk M. Nasir yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Persembahan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan contoh jelas. Beliau bukan sekadar penghibur, tetapi pencipta, pemuzik dan tokoh seni yang turut membentuk landskap muzik negara. Begitu juga Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab yang menerima pengiktirafan atas sumbangan besarnya dalam bidang muzik.
Allahyarham P. Ramlee pula menerima Ijazah Kehormat Doktor Seni Persembahan daripada Universiti Malaya pada 2005, puluhan tahun selepas pemergiannya. Ironinya, penghormatan datang selepas tokohnya tiada.
Sejarah sepatutnya mengajar kita supaya tidak menunggu seseorang menjadi sejarah sebelum mengakui nilai sumbangannya.
Siti Nurhaliza sebahagian daripada tradisi seniman yang sumbangan dan kepakarannya akhirnya diiktiraf institusi akademik. Jika lebih 30 tahun pencapaian masih dianggap tidak cukup, persoalannya bukan lagi tentang Siti Nurhaliza, tetapi tentang cara kita memahami nilai pengalaman.
Lebih membimbangkan, mentaliti yang masih menganggap seni sebagai bidang kelas kedua. Kepakaran doktor, jurutera atau cabang karier lain mudah dihormati, tetapi apabila seniman menerima pengiktirafan, kelayakannya dipersoalkan. Adakah kerana berdiri di pentas, maka ilmu mereka automatik ‘tidak laku’?
Jangan keliru antara populariti dan kepakaran. Populariti boleh datang dan pergi, tetapi bertahan lebih tiga dekad memerlukan disiplin, kreativiti, ketahanan dan keupayaan mengadaptasi perubahan zaman. Itu bukan tuah, itu ilmu yang ditempa melalui pengalaman.
Seni bukan sekadar tepukan dan sorakan. Seni membentuk identiti, memelihara bahasa dan budaya, merakam sejarah serta mengangkat nama Malaysia. Di belakang sebuah persembahan wujud ekosistem besar yang melibatkan ribuan penggiat kreatif.
Bagi penulis, masyarakat berhak mengkritik tetapi biarlah berdasarkan fakta, bukan prasangka. Jangan ukur seluruh nilai ilmu dengan sekeping sijil.
Jika tiga dekad pengalaman masih mahu direndahkan hanya kerana lahir daripada dunia seni, mungkin bukan seniman itu yang kurang ilmu. Mungkin kita yang terlalu sempit dalam mendefinisikan ilmu.














