fbpx
SEBUAH lori telah terjatuh ke dalam gaung sedalam lapan meter dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 358.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara, Bidor, Tanjung Malim pada pukul 7.37 pagi tadi. - FOTO IHSAN JBPM PERAK

Lori jatuh gaung lapan meter, bertembung bas ekspres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM – Dua mangsa di dalam sebuah lori mengalami kecederaan dalam kemalangan melibatkan kenderaan itu dan sebuah bas ekspres di Kilometer 358.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara, Bidor dekat sini pada pukul 7.37 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu turut menyebabkan lori tersebut terjatuh ke dalam gaung sedalam lapan meter.

“Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa di dalam lori berumur 40 tahun mengalami kecederaan di kaki kerana tersepit di bahagian pemandu.

“Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu wanita berumur 39 tahun telah patah tangan dan kaki,” katanya di sini hari ini.

Katanya, seorang mangsa iaitu lelaki dewasa berumur 27 tahun di dalam bas ekspres tersebut sekadar mengalami kecederaan ringan.

“Bomba melaksanakan penilaian awal dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum melakukan kerja-kerja penyelamatan.

“Mangsa dari dalam lori telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ujarnya, mangsa dari dalam bas diberikan rawatan awal oleh KKM sebelum dibawa ke hospital menggunakan jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba.

Jelasnya, mangsa dari dalam lori di bawa ke hospital menggunakan ambulans. Kesemua mangsa mendapat rawatan lanjut di Hospital Slim River. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN