fbpx
SEBAHAGIAN daripada peserta yang memeriahkan penganjuran Festival Multisukan Desaru Coast tahun lalu. - IHSAN PENGANJUR

DCMF 2026 terus angkat reputasi triatlon Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Festival Multisukan Desaru Coast (DCMF) terus mengangkat martabat sukan triatlon di Malaysia apabila edisi 2026 menyaksikan ia sudah memasuki tahun kelima penganjuran.

Bukan sahaja menjadi tumpuan dalam negara, malah kejohanan yang dianjurkan IRONMAN itu turut dianggap sebagai salah satu festival sukan lasak No.1 di Asia Tenggara serta berjaya menarik penyertaan dari seluruh dunia.

Selain acara utama IRONMAN 70.3 Desaru Coast yang akan berlangsung pada 26 Julai ini, festival berkenaan turut mempertandingkan perlumbaan 5150, Pecut, IRONKIDS dan beberapa acara lain.

Pecut Triatlon melibatkan 750 meter (m) renang, 20 kilometer (km) berbasikal dan 5km larian manakala jarak Olimpik 5150 (1.5km renang, 40km berbasikal, 10km larian) dan IRONMAN 70.3 (1.9km renang, 90km berbasikal, 21km larian).

Dijangka lebih 1,200 peserta dari 60 buah negara akan mengambil bahagian pada festival itu nanti dengan 60 peratus daripada keseluruhan peserta merupakan peserta dari luar negara dan bertaraf antarabangsa.

DISIPLIN berenang merupakan antara rutin yang perlu diharungi peserta. – IHSAN PENGANJUR

“Desaru Coast ialah destinasi yang menarik di rantau ini kerana menggabungkan resort bertaraf dunia dengan pantai menakjubkan. Ia hujung minggu sempurna buat keluarga yang mahu menikmati percutian indah,” kata Pengarah Operasi Asia, CG Lim.

Menambah prestij kejohanan itu adalah acara IRONMAN 70.3 Desaru Coast sekali lagi menjadi perlumbaan kelayakan untuk peserta memburu tiket ke Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 di Amerika Syarikat tahun depan dengan 50 slot ditawarkan (25 lelaki, 25 wanita).

Mengetuai cabaran kem Malaysia pada edisi tahun ini adalah Teh Kuok Yuen yang kembali melakukan penampilan selepas kali terakhir menyertainya pada penganjuran sulung 2022.

“Saya sentiasa menikmati perlumbaan di Desaru kerana lokasinya sangat sesuai untuk percutian hujung minggu. Saya sentiasa mahu datang ke sini untuk menguji kemampuan diri selepas menyertainya pada 2022,” ujarnya.

PARA peserta dapat menikmati keindahan alam semula jadi di sepanjang laluan perlumbaan. – IHSAN PENGANJUR

Kuok Yuen bukanlah calang-calang peserta kerana dia pernah menjadi rakyat Malaysia pertama menamatkan IRONMAN jarak penuh dengan catatan 8 jam 56 minit 42 saat di Copenhagen, Denmark selain merupakan pelari Malaysia terpantas pada edisi sulung IRONMAN 70.3 Desaru Coast.

Sementara itu, antara pelari elit antarabangsa yang bakal mewarnai saingan adalah Assad Attamimi dan Jed Radbone dari Australia serta peserta Singapura, Ling Er Choo.

“Tahun ini kami memperluaskan festival dengan lebih banyak aktiviti untuk keluarga, penonton dan komuniti tempatan. Matlamat kami adalah mencipta festival untuk semua orang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One, Izrin Hashim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN