PHILADELPHIA – Didier Deschamps menarik nafas lega apabila Perancis bukan sahaja menyingkirkan Paraguay 1-0 untuk mara ke suku akhir Piala Dunia 2026, malah berjaya mengelak perangkap provokasi lawan yang hampir mencetuskan ketegangan sepanjang perlawanan.
Pengendali Les Bleus itu memuji kematangan anak-anak buahnya yang kekal tenang meskipun diasak permainan fizikal dan perang psikologi Paraguay dalam aksi yang berlangsung dalam penuh mencabar.
Menurut Deschamps, dia sudah menjangkakan pendekatan agresif Paraguay dan sejak awal lagi mengingatkan pemain supaya tidak mudah hilang fokus atau melayan provokasi yang boleh mengundang masalah disiplin.
“Saya sudah melihat banyak perkara sebelum ini dan kami memang bersedia menghadapi perlawanan seperti ini. Pemain juga tahu apa yang bakal mereka hadapi.
“Saya tidak mahu mengkritik Paraguay kerana setiap pasukan mempunyai cara permainan tersendiri, tetapi ada beberapa kata-kata daripada bangku simpanan mereka yang sebenarnya tidak perlu berlaku,” katanya selepas perlawanan.
Sepanjang aksi tersebut, Perancis mengutip tiga kad kuning menerusi Manu Kone, Bradley Barcola dan Michael Olise, namun mereka berjaya mengelakkan situasi menjadi lebih tegang walaupun menerima asakan dan kekasaran berterusan daripada pemain lawan.
Deschamps menyifatkan disiplin yang dipamerkan pemainnya sebagai faktor penting di sebalik kejayaan mara ke kelompok lapan terbaik tanpa kehilangan mana-mana tonggak akibat tindakan yang tidak perlu.
“Apa yang paling penting ialah tiada sebarang insiden lebih buruk berlaku dan kami tidak menerima kad tambahan. Memang banyak kekasaran daripada kedua-dua pasukan, tetapi kami berjaya mengawal keadaan,” jelasnya.
Deschamps turut memuji kapten pasukan, Kylian Mbappe yang enggan melayan provokasi pemain Paraguay walaupun sering menjadi sasaran sebelum akhirnya muncul wira Les Bleus menerusi jaringan penalti pada minit ke-70.
“Ramai mengatakan Mbappe sudah berubah, tetapi bagi saya dia memang sentiasa mempunyai sikap seperti ini bersama skuad kebangsaan. Dia bukan sahaja pemain bertaraf dunia di atas padang, malah apabila bercakap, dia bercakap bagi seluruh pasukan,” ujar Deschamps. – AGENSI














