SHAH ALAM – Penyanyi Azeva menafikan tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dia melakukan pembedahan plastik untuk memancungkan hidung.
Menurut Azeva atau nama penuhnya Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, bentuk hidung mancungnya adalah asli selain mengakui menerima pelbagai pertanyaan daripada netizen mengenai isu tersebut sebelum ini.
“Orang selalu tanya kenapa sering gosok hidung sehingga ada yang persoalkan sama ada saya buat hidung atau tidak.
“Cuba tengok hidung saya ini, macam burung belatuk (paruh).
“Kalau saya buat, pastinya nak hidung seperti anak patung Barbie,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambahnya, hidung mancung yang dimiliki adalah diwarisi daripada ibunya yang juga pengarah serta penerbit, Datuk A. Aida.
“Apa pun, hidung mancung ini adalah dari keturunan mama saya.
“Tengoklah mama saya, cantik macam mana pula.
“Saya memang tidak melakukan sebarang pembedahan buat hidung — janji,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai pemilihannya sebaga pengacara Big Stage Rocketfuel bersama Nabil Ahmad, Azeva mengakui teruja dan akan memperbaiki kelemahannya.
“Kalau cakap takut, pasti ada perasaan itu sebab ini kali pertama saya mengacara untuk program siaran langsung.
“Ketika terpilih jadi pengacara Big Stage pun agak terkejut sebab waktu itu masih bertanding Talk To My Manager 2.
“Apapun, saya sahut tawaran tersebut dan anggap ini satu cabaran baru. Ingatkan hanya menyanyi tetapi tak sangka pula orang akan panggil saya untuk jadi pengacara,” jelasnya.
Terdahulu, Azeva diumumkan sebagai hos bersama Nabil dan pemilihannya mendapat respons positif termasuk memberi bakat kepada pengacara generasi muda seiring dengan konsep program Big Stage Rocketfuel yang mahu mencungkil bakat-bakat baharu. – KOSMO! ONLINE














