fbpx
ARIFFIN membersihkan pikap miliknya yang telah dua bulan dismpan sejak kenaikan harga diesel.

Makin banyak pikap atas jalan bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keputusan kerajaan menurun harga diesel kepada RM2.10 seliter bermula Julai ini mengembalikan senyuman dan kelegaan kepada pemilik pikap selepas lebih tiga bulan berdepan dengan kenaikan bahan bakar tersebut.

Malah, kebanyakan pemilik yang sebelum ini menggantung kunci, mula membuka kembali ‘selimut’ dan membersihkan kenderaan masing-masing selain menyusun strategi perniagaan susulan keputusan berkenaan.

Di Kota Bharu, pemilik Toyota Hilux, Ariffin Mat, 69, berkata, dia di antara ribuan yang ter­kesan dengan kenaikan harga diesel sehingga terpaksa menyim­pan pikap dan menggunakan ke­re­ta lebih kecil untuk ke tempat kerja.

“Sudah dua bulan saya simpan pikap dan hanya guna untuk hantar barang binaan ke tapak pembinaan. Saya terpaksa membaiki kereta lama jenis Proton Wira untuk pergerakan harian.

“Selepas ini, saya boleh guna pikap semula apabila kerajaan menurunkan harga diesel. Ada rakan-rakan yang terpaksa menjual pikap kerana tidak mampu menanggug kos bahan bakar dan bayaran ansuran bulanan,” katanya di sini, semalam.

Kosmo! pada Ahad lalu me­laporkan kerajaan bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai depan. Harga bahan bakar itu pernah mencecah rekod tertinggi iaitu RM6.72 liter untuk tempoh 9 April hingga 15 April.

Di Melaka, Syafiefie Mohd. Rashid, 40, berkata, penurunan harga diesel itu sedikit sebanyak mengurangkan beban perbelanjaan hariannya memandangkan kenderaan tersebut digunakan setiap hari untuk urusan kerja dan keluarga.

Menurutnya, pada harga semasa sekitar RM4.37 seliter, kos mengisi penuh tangki pikap mencecah hampir RM400 malah, pernah RM500 ketika diesel dijual melebihi RM5 seliter.

“Bila kerajaan umum harga diesel turun, sekurang-kurang­nya ada sedikit kelegaan kepada pengguna seperti saya dan kalau boleh, harap harga dapat diturunkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, di Seberang Perai, peniaga ayam yang mahu dikenali sebagai Acap, 38, berkata, keputusan penurunan harga diesel yang diumumkan kelmarin sememangnya ditunggu-tunggu pemilik kenderaan tersebut.

“Macam tidak percaya (keputusan penurunan harga diesel). Saya sudah balut trak pikap jenis Toyota Hilux sejak beberapa ­bulan lalu susulan kenaikan harga diesel melebih RM5 seliter.

“Saya sampai tahap nak jual semula kenderaan itu demi meneruskan kelangsungan hidup. Sejak ambil keputusan balut pikap, memang langsung tak naik cuma panaskan enjin sahaja.

“Saya tiada pilihan, terpaksa tunggang motosikal jenis Honda EX5 untuk urusan penghantaran ayam kepada pelanggan setiap hari,” katanya yang berharap agar keputusan penurunan harga diesel bukan bersifat sementara tetapi berkekalan.

Sementara itu, pemilik trak pikap yang mahu dikenali Imran, 46, memberitahu, dia terpaksa membatalkan hasratnya untuk menjual kenderaan berkenaan di kedai jualan kereta terpakai, bulan depan.

“Memang sudah tiada hati nak pandu trak pikap sebab tak tahan dengan kos bahan api yang melebihi RM400 bagi setiap pengisian penuh berbanding sebelum ini cuma RM140. Tetapi kini saya batalkan semula hasrat itu,” ujarnya.

Sementara itu, di Shah Alam, Mohd. Azizi Abdul Wahab, 40, berkata, dia terpaksa ‘gantung kunci’ lebih dua bulan berikutan tidak mampu menampung kos mengisi diesel lebih RM500 ­seminggu.

“Secara puratanya, saya perlu mengisi 75 liter diesel bagi menghantar barangan dengan pacuan empat roda.

“Susulan peningkatan kos lima kali ganda berbanding hanya RM100 sebelum ini, saya memilih menunggang motosikal biarpun kadar bayarannya lebih rendah,” katanya.

Tambah bapa kepada empat anak itu, penurunan harga diesel memberi sinar baharu untuk dirinya kembali mencari rezeki dengan pikap bulan depan.

“Tempoh beberapa bulan ini memang amat perit kerana sumber pendapatan sebagai penghantar barangan terjejas teruk,” ujarnya.

Sementara itu, penghantar barangan dikenali sebagai Nazri, 35, berkata, dia terpaksa hanya bekerja separuh masa bagi mengehadkan penggunaan diesel kerana kos mingguan pengisian untuk sepenuh masa melebihi RM800 seminggu dan agak membebankan.

  “Penurunan harga diesel mulai bulan depan itu amat dinantikan dan membantu saya untuk bangkit semula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN