KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah telah berjaya melakukan pelbagai rampasan aset dan barangan bernilai RM257 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Rampasan tersebut dilakukan menerusi 187 serbuan di kawasan tanggungjawab pasukan itu melibatkan negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan Melaka dan Johor
Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner, Hakemal Hawari berkata, kesemua serbuan tersebut dilakukan bermula 1 Januari lalu sehingga hari ini.
“Menerusi serbuan ini juga, seramai 662 individu telah ditahan,”katanya pada sidang akhbar di Markas PGA Briged Tengah disini hari ini.
Mengulas lanjut, Hakenal berkata, sepanjang tempoh itu juga, seramai 247 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba ‘lolos’ ke negara ini berjaya ditahan.
Menurutnya, tangkapan PATI berkenaan melibatkan 160 lelaki, 54 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Tangkapan tersebut dibuat menerusi 11 serbuan yang telah dijalankan sepanjang tempoh tersebut dan turut merampas pelbagai aset dan barangan berjumlah RM1.5 juta.
“Serbuan sepanjang enam bulan pertama tahun ini juga berjaya menahan 32 orang tekong darat dan laut serta transporter yang mengendalikan perjalanan PATI berkenaan,”katanya. – KOSMO! ONLINE














