fbpx
Gambar hiasan.

PRN Johor: Armada Bersatu dakwa UMNO hipokrit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyifatkan kenyataan pemimpin UMNO bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan sebagai bukti jelas berlakunya hipokrasi politik dalam kalangan kepimpinan parti itu.

Ketua Armada Bersatu Johor, Alias Rasman berkata, alasan bahawa landskap politik negara telah berubah tidak dapat menutup hakikat bahawa UMNO kini sanggup berkompromi dengan prinsip perjuangan asal mereka demi mengekalkan kuasa politik.

Menurut beliau, tindakan UMNO yang mahu bertanding secara solo di Johor tetapi terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar parti tersebut.

“UMNO-BN mahu rakyat menerima hakikat bahawa pertandingan secara solo di Johor hanyalah strategi negeri, sedangkan pada masa sama mereka masih bergantung kepada PH untuk meneruskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alias berkata, pendekatan berkenaan dilihat sebagai cubaan untuk meremehkan kebijaksanaan rakyat Johor yang kini lebih matang dalam menilai perkembangan politik semasa.

Beliau turut mendakwa generasi muda khususnya tidak lagi mudah terpengaruh dengan naratif bahawa kerjasama UMNO dan PH hanya bersifat sementara atau terhad kepada peringkat tertentu sahaja.

Menurutnya, rakyat Johor sedar bahawa UMNO berkemungkinan akan terus mengekalkan kerjasama politik dengan PH termasuk DAP sekiranya gagal memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian selepas PRN nanti.

“Rakyat melihat kemungkinan wujudnya sebuah kerajaan negeri yang diterajui gabungan UMNO dan PH sekiranya keputusan pilihan raya tidak memihak kepada mereka untuk membentuk kerajaan secara solo,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yakin pengundi di negeri ini akan membuat pilihan yang dianggap mampu membawa perubahan kepada landskap politik Johor pada PRN akan datang.

Tambah Alias, Armada Bersatu Johor percaya rakyat negeri ini sudah bersedia untuk menolak apa yang disifatkannya sebagai kerajaan ‘UMDAP’ dan memberikan mandat baharu kepada Perikatan Nasional dalam pilihan raya tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN