BALING – Kehilangan warga emas, Abd. Razak Abd. Rahman, 89, dari Kampung Rambung Batu Tujuh, Jalan Kroh di sini, sejak tujuh bulan terus menjadi tanda tanya apabila sehingga kini tiada sebarang petunjuk berhubung keberadaannya.
Menantunya, Norlaili Ahmad, 64, berkata, dia dan suami serta ahli keluarga lain tidak pernah berputus asa mencari dan menanti kepulangan warga emas berkenaan.
“Entah di mana keberadaannya, tiada khabar berita atau sebarang petunjuk, namun kami masih menanti kepulangannya, biarlah dalam keadaan apa sekali pun.
“Kami sangat berharap bapa kembali, sama ada hidup ataupun mati, kami nak bapa ditemui,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, mereka juga tidak lagi mendapat sebarang mimpi atau petunjuk seperti mula-mula kehilangan Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Tok Wan pada 11 Oktober tahun lalu.
“Kami sekeluarga amat terkesan dengan kehilangannya, setiap hari terbayang wajahnya, entahkan makan ataupun tidak, sihatkah dia dan macam-macam lagi yang kami fikirkan, kami sentiasa berdoa agar bapa akan pulang juga suatu hari nanti,” ujarnya.
Norlaili berkata, mereka sekeluarga akan melakukan solat ghaib apabila cukup tempoh kehilangan Abd. Razak.
Sementara itu, cucu Abd. Razak, Jihaa Ibrahim dalam satu hantaran di Threads berkata, kehilangan Tokwan masih menjadi misteri sehingga kini, lebih-lebih lagi tiada jasad, pakaian serta khabar berita diterima oleh keluarga.
“Seolah-olah Tok Wan pergi tanpa meninggalkan jejak. Kes ni pun dah lama senyap. Keluarga kami cuba reda dan menerima apa yang berlaku walaupun sampai hari ini, kehilangan Tokwan masih sukar untuk difahami.
“Sebagai orang Islam, kami percaya ada perkara yang Allah simpan sebagai rahsia-Nya. Kami tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Tapi kami percaya setiap yang berlaku pasti dalam pengetahuan Allah,” katanya.
Jihaa berkata, sambutan Aidilfitri dan Aidiladha mereka sekeluarga terasa sunyi dengan ketiadaan warga emas tersebut.
“Rindu tu sakit? Mestilah. Satu keluarga terlalu rindukan suasana waktu Tok Wan masih ada. Tapi kami jarang bercakap tentang kes ni sebab kami cuba menjaga hati dan menghormati perasaan keluarga terdekat,” katanya.














