SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, ibadah korban bukan sekadar tuntutan agama malah membawa pengertian besar dalam membentuk nilai keimanan, kesabaran dan semangat pengorbanan dalam kehidupan.
Menurut beliau, konsep korban mengajar umat Islam supaya tabah menghadapi ujian hidup selain memiliki daya juang yang tinggi.
“Ibadah korban ini menuntut keimanan yang teguh dan ketaatan kepada Allah SWT seperti mana ditunjukkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS.
“Tidak ada perjuangan dan erti kehidupan tanpa kesabaran, daya tahan serta semangat pengorbanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Agihan Lembu Korban Perdana Parlimen Permatang Pauh di Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.
Beliau berkata lagi, kekuatan ibadah korban itu juga terletak pada manfaatnya kepada masyarakat terutama golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan bantuan.
Katanya, amalan itu mendidik masyarakat supaya menghidupkan semangat kebersamaan serta tidak hanya mementingkan diri sendiri.
“Ibadah itu memberi manfaat kepada masyarakat. Kerana korban itu, kita adakan kegiatan ibadah. Tetapi manfaatnya itu kepada keluarga dan masyarakat.
“Jadi bila ada ujian daripada Allah SWT, kita terima sebagai ujian yang menuntut kesabaran,” ujarnya.
Justeru, beliau turut mengingatkan umat Islam supaya menghayati setiap ibadah melalui amalan kebajikan, sedekah dan sumbangan kepada masyarakat demi memperkukuh hubungan sesama insan. – KOSMO! ONLINE














