SUNGAI PETANI – Seorang peniaga belon yang ditahan bagi membantu siasatan insiden letupan tong gas helium di tapak ekspo berdekatan Dataran Jam Besar dan SP Plaza, di sini Khamis lalu disambung reman sehari lagi.
Suspek lelaki berumur 38 tahun dan berasal dari Kuala Kedah itu sebelum ini direman empat hari yang berakhir hari ini dan dia dijangka dituduh di mahkamah pada esok.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret, Muhammad Saiful Akmal Mohd Razi pada pagi tadi.
Pekerja kepada peniaga belon terbabit berusia 18 tahun yang sebelum ini turut ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian letupan tong gas helium di tapak ekspo dekat Dataran Jam Besar, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, mangsa, Azmi Ahmad, 42, yang merupakan peniaga minuman maut dengan kecederaan parah pada dada dan putus tangan kanan. – KOSMO! ONLINE














