DI tengah udara dingin Cameron Highlands, Pahang yang sentiasa menjadi pilihan pelancong tempatan, Cameron Highlands Flora Park (CHFP) muncul sebagai antara tarikan baharu yang semakin mendapat perhatian.
Terletak di kawasan Brinchang, taman bunga ini menawarkan pengalaman santai dalam suasana tanah tinggi yang dihiasi pelbagai jenis bunga, landskap indah dan sudut fotografi yang memukau.
Ia bukan sekadar taman bunga biasa, malah menjadi destinasi pilihan keluarga, pasangan dan pencinta alam yang mahu menikmati suasana segar sambil merakam kenangan.
Menurut Pengarah CHFP, Mu Yue Chet, sebaik melangkah masuk, pengunjung akan disambut dengan hamparan bunga berwarna-warni yang tersusun rapi.
“Antara yang paling mencuri perhatian ialah taman petunia yang menjadi ikon utama kawasan ini. Deretan bunga pelbagai warna menghasilkan pemandangan seolah-olah berada di taman Eropah.
“Pada waktu pagi, kabus nipis yang menyelubungi kawasan itu menjadikan suasana lebih romantik dan menenangkan,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, ramai pengunjung menjadikan lokasi ini sebagai tempat bergambar kerana setiap sudut kelihatan seperti set fotografi profesional.
Salah satu keunikan Flora Park ialah konsep taman bertingkat yang dibina mengikut kontur bukit. Laluan pejalan kaki kayu yang menghubungkan setiap bahagian taman memberi peluang kepada pengunjung menikmati pemandangan dari sudut berbeza.
Di sepanjang laluan itu, terdapat pelbagai dekorasi menarik seperti buaian gergasi, tangga kaca, terowong daun dan platform tinjau.
Semua ini direka khusus untuk memberikan pengalaman visual yang menarik terutama bagi mereka yang gemar memuat naik foto di media sosial.
Kongsi Yue Chet lagi, tarikan lain yang sering menjadi tumpuan ialah taman bertema empat musim. Kawasan ini menampilkan susunan bunga yang berubah mengikut rekaan tertentu, memberi ilusi seolah-olah pengunjung sedang berada di taman luar negara.
“Selain itu, terdapat juga kawasan yang diinspirasikan daripada taman Jepun dengan elemen pokok hiasan, jambatan kecil, bunga sakura dan suasana tenang yang sesuai untuk berjalan santai sambil menikmati udara nyaman tanah tinggi.
“Bagi pencinta panorama, puncak bukit di Flora Park menjadi lokasi wajib singgah. Dari sini, pengunjung boleh menikmati pemandangan perbukitan Cameron Highlands yang dipenuhi kehijauan kebun teh dan kabus semula jadi,” ujarnya.
Kongsinya lagi, suasana ini menjadikan ramai memilih untuk menghabiskan masa lebih lama di sini, sekadar duduk menikmati angin sejuk sambil berehat.
Sesetengah pengunjung turut membawa keluarga untuk berkelah ringan di kawasan tertentu.
Menariknya, Flora Park juga mempunyai beberapa kafe yang menawarkan pengalaman minum teh dan menikmati pencuci mulut sambil dikelilingi bunga. Ini menjadikan kunjungan lebih santai kerana pengunjung boleh berehat selepas berjalan di kawasan taman luas.
Ada yang memilih datang seawal pagi bagi mengelak kesesakan, terutama hujung minggu dan musim cuti sekolah apabila kawasan ini dipenuhi pelancong.
“Cameron Highlands Flora Park sesuai untuk mereka yang mahu mencari ketenangan sambil menikmati keindahan alam.
“Gabungan udara sejuk, landskap bunga yang tersusun cantik dan pelbagai tarikan bergambar menjadikan lokasi ini antara destinasi popular di Cameron Highlands,” tambah Yue Chet.
Jelasnya lagi, walaupun kawasan ini moden dan dibangunkan sebagai tarikan pelancongan, ia tetap mengekalkan elemen semula jadi yang menjadi identiti tanah tinggi tersebut.














