KEHIDUPAN berumah tangga ada pasang surutnya, tidak semuanya manis seperti yang sering dipaparkan di media sosial atau drama televisyen.
Realitinya, perkahwinan adalah satu perjalanan panjang yang menuntut kesabaran, persefahaman dan pengorbanan daripada kedua-dua belah pihak.
Cabaran rumah tangga menjadi semakin kompleks apabila tekanan ekonomi, tuntutan kerjaya dan perubahan nilai sosial mula mempengaruhi keharmonian hubungan suami isteri.
Faktor-faktor itu sering menjadi pencetus kepada konflik yang berlarutan dan jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh membawa kepada perceraian.
Berdasarkan Statistik Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan, bilangan perceraian meningkat sebanyak 4.1 peratus iaitu daripada 58,095 kes pada 2023 kepada 60,457 kes pada 2024.
Statistik itu turut menunjukkan perceraian dalam kalangan orang Islam menyumbang sebanyak 78.7 peratus daripada keseluruhan kes perceraian pada tahun 2024.
Peguam Syarie, Nur Amalina Adam berkata, terdapat pasangan suami isteri yang mengalami ‘silent divorce’ yang mana mereka masih tinggal sebumbung tetapi hubungan atau perasaan sudah lama mati.
“Ia bagaikan sudah menjadi kisah biasa dalam masyarakat kita sekarang. Saya akui banyak kes membabitkan isu mati rasa dan masih tinggal serumah ini,” katanya.
Menurut beliau, lama-kelamaan situasi tersebut akan merosakkan jiwa pasangan kerana mereka hidup dalam suasana rumah tangga yang tiada kasih sayang sepenuhnya.
“Keadaan itu akan menjadi lebih mudarat apabila masing-masing tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri. Ajaran Islam dalam rumah tangga adalah apabila ada masalah hendaklah bersegera mencari jalan penyelesaian sama ada melalui perbincangan dua hala antara suami isteri, wakil keluarga atau mendapatkan nasihat pihak berautoriti,” ujarnya.
Beliau berkata, sebuah perkahwinan sepatutnya mencapai matlamat asal iaitu bagi memperoleh ketenangan, berkasih sayang dan mendapat rahmat Allah, namun jika matlamat itu ‘rosak’, maka adalah jelas bahawa perkahwinan tersebut gagal.
Tambahnya, membiarkan perang dingin berlarutan dan berpanjangan merupakan satu pelanggaran suruhan agama untuk suami isteri hidup bersama dengan cara yang baik atau mu‘asyarah bil ma‘ruf.
Selain itu, katanya, media sosial dan rakan maya juga dilihat mampu menjadi punca keretakan rumah tangga apabila wujud perbandingan kehidupan serta pengaruh komen negatif yang mencetuskan salah faham antara pasangan.
Beliau menasihatkan pasangan supaya mendapatkan kaunseling kekeluargaan di Pejabat Agama Islam daerah masing-masing bagi mencari perdamaian dan memberi peluang kepada pasangan berubah ke arah lebih baik sebelum memfailkan perceraian. -KOSMO! ONLINE
















