fbpx
Cameron Highlands antara lokasi pelancongan yang sering mengalami kesesakan teruk, namun orang ramai tetap mengunjunginya setiap kali musim cuti. - GAMBAR HIASAN

Cuti seronok, sesak menunggu, sediakah anda?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Seminggu lagi, musim cuti persekolahan hujung tahun bermula dari 20 Disember hingga 11 Januari tahun depan. Ramai rakyat Malaysia sudah merancang untuk bercuti bersama keluarga masing-masing.

Ada yang telah menempah hotel, pakej pelancongan dan pengangkutan awam. Ada juga yang menunggu saat-saat akhir. Destinasi peranginan popular seperti kawasan tanah tinggi, pantai, pulau, taman tema dan ekopelancongan di seluruh negara akan kembali penuh.

Bagaimanapun, adakah anda bersedia menghadapi kesesakan jalan raya luar biasa di laluan menuju ke destinasi pelancongan dan sekitarnya?

Antara lokasi pelancongan yang paling sesak di Cameron Highlands. Kawasan pelancongan tanah tinggi ini tidak pernah lengang dengan kebanjiran pelancongan pada cuti umum dan cuti sekolah.

Kita sering mendengar rungutan daripada pengunjung yang terkandas berjam-jam di jalan raya yang dikongsi di media sosial bersama gambar kesesakan trafik.

Ada seorang wanita terpaksa menempuh kesesakan selama lima jam dari Simpang Pulai menuju ke Cameron Highlands. Ada juga mengambil masa lebih sejam hanya untuk pergerakan dari Tanah Rata ke Kea Farm, dengan jarak tidak sampai 10 kilometer.

Slogan yang sering disebut-sebut ialah ‘hanya yang kental akan sampai Cameron’.

Lokasi pelancongan lain yang turut mengalami kesesakan luar biasa di Pulau Pinang melibatkan kawasan Batu Ferringhi, Gurney dan pusat bandar George Town.

Pulau Langkawi juga dijangka mengalami kesesakan teruk terutama di Pantai Cenang.

Pulau legenda ini menjadi pilihan ramai pelancong tempatan yang membatalkan hasrat untuk bercuti di Hatyai apabila bandar itu masih lumpuh akibat banjir besar baru-baru ini.

Di Negeri Sembilan, Port Dickson antara lokasi pelancongan popular yang sering ‘diserbu’ pengunjung pada musim cuti sekolah. Laluan utama memasuki PD sering mengalami kesesakan panjang.

Melaka juga tidak ketinggalan apabila kawasan pusat bandar di sekitar Banda Hilir sering sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu masuk ke kawasan rumah merah dan bangunan tinggalan sejarah.

Itu antara lokasi kesesakan teruk. Anda juga perlu bersedia untuk beratur panjang di setiap tempat terutama di restoran-restoran viral yang menjadi tumpuan ramai.

Teman tema popular juga sering dibanjiri pengunjung seperti Lost World of Tambun di Ipoh, Perak, Genting SkyWorlds di Pahang, Legoland Malaysia di Iskandar Puteri, Johor dan A’ Famosa Resort di Melaka.

Melancong pada musim cuti persekolahan memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ia tidak akan selancar atau semudah seperti dirancang.

Anda harus bersedia menghadapi segala kemungkinan, daripada jalan sesak, tempat penginapan penuh, sehinggalah ke destinasi tumpuan yang dibanjiri pengunjung, membuatkan setiap langkah terasa perlahan.

Inilah kesusahan yang perlu ditempuh bagi menikmati waktu berkualiti bersama suami, isteri dan anak-anak kerana ia akan menjadi satu kenangan terindah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN