fbpx
Penghujung tahun ini bukan sekadar bulan bercuti, tetapi masa untuk menghargai keluarga.

Masih ada bajet cuti hujung tahun?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

November dan Disember selalu dikaitkan dengan tempoh honeymoon atau release. Ramai merancang percutian sama ada dalam atau luar negara.

Ada antaranya memilih healing di sungai, pantai dengan tema mendekati alam, namun sebahagian besar pula memilih negara jiran antaranya Hatyai, Phuket kerana faktor tarikan dan nilai ringgit.

Walaupun hujung tahun sinonim dengan musim tengkujuh di Pantai Timur, orang ramai mempunyai pilihan apabila beralih ke tempat peranginan di Pantai Barat antaranya Melaka, Port Dickson, Langkawi dan Pulau Pinang yang kebiasaannya penuh dengan pelancong.

Bagi yang tidak ke pantai, pusat peranginan tanah tinggi seperti Cameron Highlands atau Genting Highlands menjadi tumpuan.

Tidak kurang juga yang memilih menghabiskan masa di kampung bersama keluarga dalam tempoh yang lama, ditambah pula cuti sekolah, maka lebih mudah ibu bapa membuat perancangan.

Bagi individu yang bekerja, dua bulan ini tempoh mereka menghabiskan cuti tahun sebelum bermula tahun baharu.

Cuti yang berbaki mungkin ‘burn’ jika tidak digunakan bagi sesetengah syarikat. Alangkah rugi jika tidak dimanfaatkan sewajarnya biarpun hanya bersantai di rumah tanpa ke mana-mana.

Selain itu, sebahagian syarikat memberikan bonus hujung tahun menjadikan November dan Disember masa sesuai untuk berbelanja, bercuti dan bersantai.

Secara keseluruhannya, penghujung tahun ini bukan sekadar bulan bercuti, tetapi masa untuk menghargai keluarga, berehat daripada tekanan kerja dan sekolah serta menutup tahun dengan kenangan indah.

Di mana pun tempat yang anda pergi, pastikan ia memberi nilai tambah kepada hubungan kekeluargaan, ikatan persahabatan mahupun ekonomi diri dan negara.

Bagaimanapun, di sebalik itu, ada antara kita menjadikan November dan Disember bulan untuk bekerja keras mencari rezeki tambahan apabila tiga peristiwa penting berlaku hampir serentak tahun hadapan.

Sesi persekolahan 2026 bermula pada 12 Januari dan selang sebulan selepas itu, kita menyambut Ramadan diikuti sambutan Aidilfitri pada 21 Mac tahun depan.

Keadaan ini menyaksikan pertambahan dua kali ganda kos perbelanjaan lebih-lebih lagi melibatkan keluarga besar.

Untuk itu, keadaan getir seperti ini menuntut ibu bapa lebih berhati-hati dalam merancang perbelanjaan bagi mengimbangi ketiga-tiga keperluan tersebut agar tiada yang tercicir.

Di media sosial ramai berkongsi persiapan dibuat menjelang tahun depan. Bijaklah berbelanja jangan sampai korek simpanan sehingga licin, baju baharu tidak perlu asalkan anak-anak dapat teruskan pembelajaran dan kita dapat berpuasa.

Rancang perbelanjaan juga penting untuk kawal emosi diri dan keluarga bagi mengelakkan tertekan apabila gagal menyediakan mengikut keinginan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN