CAMERON HIGHLANDS – Peniaga sayur di Kea Farm di sini memilih untuk menjual sayur yang sedikit berlubang atau tidak sempurna kerana dikatanya tidak menggunakan racun perosak berlebihan, sebaliknya mengutamakan baja organik.
Seorang peniaga, Shamala Devi, 55, berkata, beliau lebih cenderung mengambil bekalan daripada pekebun kecil yang menanam sayur di sekitar kediaman mereka berbanding ladang berskala besar.
Katanya, kebanyakan pekebun kecil menghantar sayur dalam kuantiti kecil, sekitar lima kilogram bagi setiap jenis dan mengamalkan penggunaan baja organik.
“Antara baja digunakan ialah sisa dapur seperti kulit pisang dan telur, najis haiwan seperti kambing dan ayam serta kompos yang kaya nutrien.
“Mereka ada guna racun, tetapi dalam kadar terkawal terutama pada peringkat awal tanaman bagi mengelakkan serangan serangga,” katanya ketika ditemui di Kea Farm di sini semalam.
Katanya, sayur yang kelihatan terlalu cantik dan sempurna biasanya ditolak kerana berkemungkinan menggunakan racun berlebihan.
“Kalau sayur terlalu cantik, saya tak ambil. Saya lebih pilih yang ada sedikit rosak atau berlubang kerana itu tanda ia dimakan ulat atau serangga seperti kumbang dan siput, sekali gus menunjukkan penggunaan racun yang rendah,” ujarnya.
Shamala yang telah berniaga selama 38 tahun berkata, kebun berskala besar lazimnya menggunakan racun lebih tinggi bagi memastikan hasil kelihatan sempurna dan menarik.
Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Sha, 30, berkata, sebahagian sayur dijual di gerainya ditanam sendiri bagi mengawal penggunaan racun.
“Kalau ambil daripada pekebun lain, saya pilih sayur gred B sahaja. Kebanyakannya dari sekitar Kea Farm.
“Kita sendiri makan sayur yang dijual, jadi kita tahu mana yang terbaik dan selamat,” katanya.
Dia menasihatkan pembeli supaya membasuh sayur menggunakan air garam sebelum dimasak bagi mengurangkan sisa kimia pada permukaan sayuran.














