SETIAP pasangan yang berkahwin sudah pasti tidak terlepas daripada menerima ujian.
Ada yang kuat menempuh ujian tersebut bagi memastikan rumah tangga dibina terus berkekalan.
Namun, ada juga rumah tangga yang musnah kerana tidak teguh untuk mempertahankan hubungan dibina.
Itulah yang berlaku terhadap seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Tini.
Wanita berusia pertengahan 40-an itu reda atas ujian berat yang diterimanya.
Baginya, langkah terbaik yang perlu dilakukannya adalah memilih untuk berpisah dengan suami tercinta.
“Saya diuji dengan suami yang tidak setia dan menjalinkan hubungan dengan wanita lain di belakang saya.
“Suami saya sebenarnya menyimpan seorang ‘sugar baby’ (wanita simpanan) di belakang saya,” katanya ketika ditemu bual K-Wanita baru-baru ini.
Tini tidak menyangka bahawa suaminya sanggup berlaku curang di belakangnnya.
Baginya, suaminya merupakan seorang lelaki yang baik sepanjang mereka berkahwin.
Namun, semuanya berubah setelah suaminya diuji dengan sedikit kemewahan.
Tini menjelaskan, sebelum ini, kehidupan mereka sederhana, di mana dia bekerja dalam sektor swasta, manakala suaminya mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang pembinaan.
Hasil kerja keras, perniagaan suaminya berkembang dan kehidupan mereka semakin mewah.
Untuk makluman, Tini merupakan wanita yang banyak menyokong suaminya untuk berjaya dalam perniagaan tersebut.
“Ketika awal-awal berkahwin, demi membantu perniagaan suami, saya sanggup menggadai barang kemas milik saya.
“Banyak lagi pengorbanan yang saya lakukan untuknya. Saya mengharapkan dia ingat semua itu.
“Namun, setelah diuji dengan kemewahan, dia lupa pengorbanan saya. Sebaliknya dia menyimpan wanita lain di belakang saya,” katanya.
Menurut wanita berasal dari Kedah itu, suaminya ada menjalinkan hubungan dengan seorang pelajar universiti.
Katanya, semuanya terbongkar selepas salah seorang rakan Tini melihat suaminya keluar berdua-duaan dengan wanita lain yang masih muda.
Pada mulanya, Tini tidak percaya dengan kawannya kerana dia yakin suaminya tidak bersikap seperti itu.
“Namun, naluri seorang wanita merasakan, saya tidak boleh mempercayai suami sepenuhnya dan harus berasa curiga.
“Saya tidak terus menyerang suami, sebaliknya saya siasat terlebih dahulu apa yang dikatakan oleh rakan saya itu,” jelasnya.
Akhirnya, terbukti suaminya ada menjalinkan hubungan dengan wanita lain setelah Tini menjumpai ‘chat’ mesra mereka di dalam telefon suaminya.
Ujar Tini, suaminya mempunyai dua telefon pintar, di mana satu untuk hal peribadi dan satu lagi bagi urusan kerja.
Tambahnya, dia jarang memeriksa telefon pintar yang suaminya gunakan untuk urusan kerja.
Namun pada suatu hari, terdetik di hatinya untuk menyiasat dan melihat telefon pintar tersebut.
“Saya menjumpai perbualan mesra dan juga gambar-gambar suami dengan wanita tersebut. Malah, saya menjumpai gambar mereka pergi bercuti bersama di sebuah pulau,” jelasnya.
Dia menunjukkan semua bukti yang dijumpainya itu kepada suaminya.
Cerita Tini, selepas didedahkan, suaminya tidak mampu berkata-kata, sebelum mengakui dia ada wanita lain.
Katanya, suaminya itu hanya menganggap wanita itu sebagai ‘sugar baby’ yang menemaninya ketika bosan.
“Pelbagai alasan yang diberikan oleh suami saya, malah dia menyalahkan saya yang mendorongnya berlaku curang.
“Dia cakap saya tidak pandai melayani kehendaknya,” jelas Tini.
Tini amat kecewa dengan suaminya, dan dia tidak boleh menerima perbuatan curang dilakukan oleh lelaki dicintainya itu.
Setelah berfikir panjang, Tini mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya.
Dia tidak boleh lagi tinggal dengan lelaki yang memilih untuk ‘makan luar’, meskipun telah mempunyai isteri dan dua anak.
Tini dan suaminya akhirnya sah berpisah di salah sebuah Mahkamah Syariah di Utara tanah air.















