PETALING JAYA – Beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus mempamerkan rentak meyakinkan apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Thailand selepas menundukkan pasangan China, Huang Di-Liu Yang sebentar tadi.
Turun beraksi di Stadium Nimibutr, Bangkok, pasangan ranking kesembilan dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk menguasai set pertama sebelum melengkapkan kemenangan straight set 21-14, 24-22 dalam tempoh 46 minit.
Sze Fei-Izzuddin tampil lebih kemas sejak awal permainan apabila berjaya mengawal tempo perlawanan menerusi corak serangan agresif selain disiplin pertahanan yang sukar ditembusi lawan.
Namun, pasangan China berkenaan bangkit memberi tentangan sengit pada set kedua sehingga memaksa wakil negara bekerja lebih keras sebelum memastikan kemenangan akhirnya memihak kepada mereka.
“Saya rasa kami bermain agak baik hari ini dan pihak lawan juga bermain dengan sangat baik. Jadi kami hanya fokus kepada permainan sendiri hari ini. Kami rasa baik dengan prestasi dan momentum kami ketika ini,” katanya.
Pada aksi lapan terbaik esok, Sze Fei-Izzuddin dijadual berdepan pasangan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley yang sebelum itu menyingkirkan beregu profesional negara, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi.
“Ya, kami hilang sedikit fokus, tetapi kami gembira kerana berjaya bangkit semula pada penghujung permainan kedua.
“Mengenai keadaan angin di gelanggang, saya rasa memang agak sukar untuk dikawal, tetapi itu bukan alasan untuk kami,” katanya. KOSMO! ONLINE














