GUA MUSANG – Sikap segelintir penternak yang masih degil dan berterusan membiarkan lembu berkeliaran dikenal pasti sebagai punca utama isu haiwan ternakan merayau di jalan raya di daerah ini.
Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), Mohd. Roshdi Ismail berkata, meskipun operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan termasuk tangkapan dan tindakan kompaun, masalah tersebut dilihat masih berulang.
Katanya, terdapat penternak yang tetap melakukan kesalahan sama walaupun telah dikenakan tindakan sebelum ini. Kami dapati masih ada yang tidak serik walaupun haiwan mereka pernah ditangkap dan dikenakan bayaran tebusan tinggi, mereka tetap membiarkan ternakan berkeliaran.
“Situasi itu bukan sahaja menimbulkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya tetapi turut menyukarkan usaha pihak berkuasa tempatan dalam mengawal masalah berkenaan,” katanya.
Mohd. Roshdi berkata, MDGM terus mempergiat tindakan apabila berjaya menangkap tujuh ekor lembu dalam operasi bersepadu selama tiga hari yang dijalankan sejak Isnin lalu sehingga semalam. – KOSMO! ONLINE














