PETALING JAYA – Pelakon Zamarul Hisham memilih untuk tidak terlibat dalam babak aksi disebabkan masalah kesihatan iaitu serangan jantung yang dialaminya sejak tahun lalu.
Menurut Zamarul, 55, bukan hanya adegan lasak, dia juga cuba menolak watak yang hadir dengan tuntutan berat dari segi fizikal dan emosi.
“Saya sebenarnya tidak memilih watak tetapi keputusan tersebut disebabkan faktor kesihatan selepas menjalani prosedur memasukkan stent pada jantung.
“Saya juga mengehadkan tempoh penggambaran selalunya maksimum sehingga pukul 11 malam sahaja sebab kalau lebih daripada itu, badan sudah tidak sekuat dulu.
“Tetapi kalau ikutkan hati, memang saya masih mahu cuba apa sahaja watak dan babak lasak cuma semuanya bergantung kepada kemampuan diri,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan episod akhir Bila Cinta Menjadi Dosa di sini, baru-baru ini.
Katanya, dia ketika ini lebih ke arah karya yang lebih ringan yang bersesuaian dengan tahap kesihatannya.
“Sekarang ini saya banyak menerima karya yang ringan seperti komedi santai kerana tak mahu terlalu stres bekerja.
“Kadang-kadang kalau ada naskhah berat yang saya tahu mempunyai potensi besar, saya masih akan pertimbangkan dan terima juga,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia menambah kesihatannya kini berada dalam keadaan baik selain perlu mengawal diet pemakanan.
“Setakat ini kesihatan saya berada dalam keadaan baik. Selepas memasukkan tiga stent jantung, rasa macam badan jadi lebih muda sedikit.
“Kalau pemakanan memang kena lebih berjaga-jaga termasuk kurang ambil makanan berminyak.
“Dahulu pun saya memang tidak pernah bersenam tetapi sekarang kena biasakan diri, malah boleh kata setiap hari saya akan ‘brisk walk'” ujarnya.
Terdahulu, Zamarul pada Februari tahun lalu dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan akibat sesak nafas ketika sedang menjalani penggambaran.
Hasil pemeriksaan lanjut, Zamarul berdepan massalah saluran jantung tersumbat sehingga terkena serangan jantung secara tiba-tiba. – KOSMO ONLINE














