KUALA TERENGGANU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menjangkakan hampir 7,000 haiwan ternakan meliputi lembu, kerbau, kambing, kambing biri-biri dan unta akan disembelih sebagai ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut hujung bulan ini.
Pengarah Veterinar Terengganu, Dr. Anun Man berkata, ia peningkatan antara dua dan lima peratus berbanding haiwan yang dikorbankan dalam musim perayaan sama pada tahun lalu.
“Sebanyak 6,229 ekor haiwan ternakan direkodkan telah disembelih sempena Hari Raya Aidiladha di Terengganu pada tahun lalu.
“Berdasarkan trend semasa yang menunjukkan pertumbuhan stabil, kita menjangkakan penyembelihan bagi ibadah korban pada tahun ini akan meningkat antara dua dan lima peratus,” katanya di sini semalam.
Terdahulu beliau merasmikan Kempen Kesedaran Awam Pencegahan Penyakit Haiwan Ternakan peringkat Terengganu.
Anun berkata, individu tempatan yang berhasrat untuk melaksanakan ibadah korban sudah boleh memohon permit penyembelihan di pejabat JPV berhampiran seluruh negeri ini mulai semalam.
Beliau berkata, permohonan permit sembelihan luar bagi ibadah korban dengan caj RM35 seekor untuk lembu dan kerbau manakala kambing dan bebiri pula RM25 seekor akan dibuka sehingga 21 Mei depan.
“Upacara penyembelihan untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tersebut dibenarkan pada 10 hingga 13 Zulhijjah.
“Pergerakan haiwan korban pula dibenarkan bermula 24 Mei hingga 30 Mei depan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anun berkata, orang ramai turut digalakkan melaksanakan ibadah korban di 10 rumah sembelihan yang terdapat di seluruh Terengganu.
Beliau berkata, tujuh daripada rumah sembelihan itu dikendalikan sendiri JPV manakala baki tiga buah oleh pihak swasta.
“Setiap rumah sembelihan berupaya menyembelihan maksimum 25 ekor haiwan ternakan sehari,” katanya.














