KUALA LUMPUR – Tiada halangan untuk kira-kira 850 pelajar perubatan Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) menjalani latihan siswazah di negara ini menggunakan modul sedia ada, tertakluk kepada syarat kemasukan yang ditetapkan.
Ia susulan pelaksanaan Akta Latihan Perubatan (Keutamaan) 2026 oleh United Kingdom (UK) yang mengubah syarat kemasukan ke Program Foundation (FY1/FY2).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia mempunyai kapasiti mencukupi untuk melatih pelajar berkenaan dan pada masa sama mahu bakat perubatan tempatan berkhidmat kepada rakyat sendiri.
“Saya ingin memberi jaminan kepada 850 pelajar NUMed yang terkesan, anda tidak akan terkandas. Walaupun UK mengubah dasar mereka, KKM (Kementerian Kesihatan) sedia menyerap anda untuk menjalani latihan siswazah (housemanship) di 48 hospital latihan kami di seluruh Malaysia.
“Ijazah NUMed tetap diiktiraf di bawah Akta Perubatan 1971. Pihak Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) telah mengesahkan bahawa tiada halangan untuk graduan ini dilatih di Malaysia menggunakan modul latihan pegawai perubatan siswazah sedia ada, tertakluk kepada syarat-syarat kemasukan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan CRM Trial Connect Conference 2026 di sini, hari ini.
Dzulkefly turut menjelaskan bahawa proses penempatan dan kemasukan graduan akan dilaksanakan mengikut kategori kelayakan sedia ada.
“Bagi warganegara, mereka boleh terus memohon melalui SPA9 dengan syarat memenuhi kriteria skim perkhidmatan termasuk lulus Bahasa Melayu peringkat SPM.
“Bagi bukan warganegara seperti pasangan atau pemegang PR (Pemastautin Tetap) permohonan boleh dibuat melalui Jawatankuasa Pemilihan Pegawai Kontrak (JPPK) di bawah KKM sebelum disahkan oleh JPA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya.
Tambahnya, Majlis Perubatan Malaysia (MPM) menegaskan bahawa proses pendaftaran dan pengiktirafan graduan perubatan di Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Perubatan 1971 serta peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan lebih luas kepada pelajar terkesan bahawa KKM bersedia menjadi laluan alternatif utama sekiranya berlaku perubahan dasar di luar negara.
“Kita mahu pastikan tiada bakat perubatan yang tercicir hanya kerana perubahan dasar luar. Kami faham kekecewaan pelajar terhadap perubahan dasar di UK.
“Namun, fokus utama saya sebagai Menteri Kesihatan Malaysia adalah memastikan bakat perubatan kita ada tempat untuk berkembang. Jika UK menutup pintu, Malaysia sentiasa membuka pintu untuk anda pulang berkhidmat,” katanya.
Terdahulu, Presiden Parti Progresif Rakyat (myPPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan sebelum ini berkata perubahan dasar tersebut menyebabkan pelajar NUMed tidak lagi menikmati keutamaan untuk menyertai latihan perubatan di bawah sistem Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Katanya, di bawah peraturan baharu, keutamaan hanya diberikan kepada graduan yang mengikuti pengajian dan latihan secara fizikal di UK, sekali gus meletakkan pelajar NUMed yang menamatkan pengajian di Malaysia dalam kategori graduan perubatan antarabangsa (IMGs).
Sebelum ini, media melaporkan Setiausaha Kesihatan UK, Wes Streeting ketika membentangkan Rang Undang-Undang tersebut di Dewan Rakyat pada Januari lalu menyifatkan NHS tidak seharusnya ‘merebut’ tenaga kerja dari negara yang kekurangan doktor, sambil membiarkan kumpulan graduan tempatan tidak mendapat pekerjaan. – KOSMO! ONLINE














