KETUA jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi hambar dipamerkan pemain perseorangan negara dalam kempen Piala Thomas 2026.
Pengendali dari Denmark itu tidak berselindung apabila mengakui anak buahnya gagal menterjemahkan aksi terbaik seperti diharapkan sepanjang kejohanan berprestij itu berlangsung.
Menurutnya, beliau memikul sepenuhnya kegagalan dua tonggak utama, Justin Hoh dan Leong Jun Hao yang tidak mampu menampilkan prestasi konsisten membantu skuad negara.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap prestasi yang kurang memberangsangkan daripada Justin dan Jun Hao sepanjang kejohanan ini.
“Mereka hadir dengan terlalu banyak kelemahan dalam permainan dan perkara itu pasti akan terdedah di peringkat ini, lebih-lebih lagi apabila beraksi di bawah tekanan tinggi,” katanya.
Jun Hao yang memikul tugas selaku pemain No. 1 negara, mengharungi kempen sukar apabila gagal menyumbang mata dalam ketiga-tiga perlawanan yang disertainya, termasuk tewas 10-21, 21-16, 9-21 kepada pemain China, Shi Yu Qi dan turut tewas ditangan Kodai Naraoka dari Jepun (11-21, 15-21).
Lebih mengecewakan, Jun Hao turut tunduk kepada pemain ranking No. 60 dunia, Joakim Oldorff dari Finland menerusi keputusan 17-21, 15-21. sekali gus memberi tekanan kepada barisan keseluruhan pasukan.
Nasib sama turut menimpa perseorangan kedua, Justin Hoh yang sekadar melakar satu kemenangan dari empat perlawanan iaitu menewaskan pemain Finland, Kalle Koljonen, 21-14, 21-12.
Pemain profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin pula gagal memberi impak apabila tewas kepada Cholan Kayan, 16-21, 15-21 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang England.
Zii Jia turun selaku pemain pilihan ketiga skuad negara muncul sebagai pemain paling konsisten skuad negara dalam kejohanan itu apabila melakar tiga kemenangan daripada tiga perlawanan termasuk mengejutkan pemain nombor 20 dunia dari Jepun, Koki Watanabe, 21-13, 21-19 pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Rabu lepas.
Di peringkat suku akhir kelmarin, perjalanan skuad negara berakhir selepas tewas 0-3 kepada China, namun Jonassen menegaskan kegagalan tersebut akan dijadikan asas penting untuk memperbaiki kelemahan menjelang kejohanan akan datang.














