PETALING JAYA – “Sudah sampai,” itu respons ringkas bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik apabila ada pihak yang menyatakan harapan supaya isu membabitkan tiga ekor gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat (DAK) disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Maszlee sebelum itu turut merayu supaya ketiga-tiga ekor gajah berkenaan dibawa pulang segera ke Malaysia.
Menerusi video yang dikongsikan di media sosial itu, beliau menggesa supaya pihak berwajib mendengar suara rakyat dan ia telah meraih perhatian para pengikutnya yang mahu perkara tersebut turut disampaikan kepada Perdana Menteri.
“Saya merayu kepada pihak berwajib agar mendengar suara rakyat supaya dibawa pulang Dara, Amoi dan Kelat dari Jepun,” katanya, semalam.
Keprihatinan beliau itu meraih perhatian orang ramai yang rata-rata memuji usahanya ‘bersuara’ demi nasib DAK.
“Terima kasih Dr. Maszlee prihatin kes gajah ini, kasihan,” ujar @Ani hamid.
“Terima kasih Dr. Maszlee suarakan isu ini. Harap Dr. dapat sampaikan kepada PMX,” komen @Reza Rahim.
“Hadir sokong. Terima kasih Dr. Maszlee,” kata @HuMyraLegacy.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pemindahan tiga ekor gajah Malaysia pada Mac lalu ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun itu menimbulkan pelbagai reaksi dan kebimbangan dalam kalangan aktivis serta pencinta haiwan.
Malah, baru-baru ini, sekumpulan aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan turut menggesa kerajaan supaya segera membawa pulang DAK kerana didakwa mengalami penderitaan dan tidak sesuai dengan persekitaran di sana.
Sementara itu pada hari ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pula menggesa rundingan segera dimulakan antara Zoo Taiping dan Night Safari dengan Tennoji Zoo, Osaka, Jepun bagi membawa pulang ketiga-tiga gajah itu dari negara berkenaan. – KOSMO! ONLINE
@maszlee Saya merayu kepada pihak berwajib agar mendengar suara rakyat agar dibawa pulang Dara, Amoi dan Kelat dari Jepun… 🙏 #daraamoikelat #dak ♬ Celestial – Saymon Cleiton














