SEPAK takraw di Malaysia merupakan sukan warisan yang mempunyai peminat dan pengikut tersendiri, selain terus bertransformasi ke era profesional masa kini.
Berasal daripada permainan tradisional sepak raga di zaman Kesultanan Melayu Melaka, sepak takraw kini diiktiraf sebagai salah satu sukan terpenting di Malaysia.
Buktinya, 14 April lalu menjadi sejarah buat sukan sepak takraw negara apabila perasmian Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASTM) dilancarkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Berperanan sebagai pusat latihan sistematik, kerajaan terus komited memperuntuk RM3 juta bagi pembangunan sukan ini yang kini berstatus juara bertahan bagi Piala Dunia 2026.
Di sebalik kejayaan dan perasmian ASTM tersebut, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut melakar satu sejarah apabila sekumpulan penyelidiknya berjaya membangunkan mesin inovasi pelancar bola takraw pertama di Malaysia, RimauStrike dalam usaha meningkatkan keberkesanan dan konsistensi sesi latihan atlet sukan itu.
Pembangunan dan pengujian mesin teknologi sukan itu turut melibatkan kerjasama strategik bersama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Pahang (MSP).
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr. Yatimah Alias berkata, penyelidikan dijalankan penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) serta Akademi
TVET Termaju melalui Pusat Inovasi Teknologi Sukan (STIC) UMPSA.
Menurutnya, STIC UMPSA merupakan Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara berperanan berkongsi kepakaran khususnya dalam pembangunan dan penyelidikan teknologi sukan.
“Penyelidikan RimauStrike bermula sejak tahun 2023 bagi menyokong eksperimen biomekanik yang memerlukan kawalan halaju bola secara tepat dan konsisten.
“Ia bagi memastikan keputusan kajian dapat dijalankan secara lebih sistematik, tepat dan boleh diulang,” katanya kepada K-Kampus.
Jelas Yatimah, mesin itu mampu melancarkan bola takraw pada kelajuan boleh dilaraskan selain menghasilkan hantaran bola yang lebih stabil berbanding kaedah manual.
Ujarnya, pembangunan mesin itu pada awalnya untuk menghasilkan prototaip pelancar bola takraw bagi kegunaan eksperimen penyelidikan berkaitan impak tandukan bola terhadap kepala pemain.
“Dalam kajian biomekanik impak, kelajuan bola perlu dikawal dengan baik bagi memastikan keputusan eksperimen yang lebih tepat dan boleh dipercayai.
“Justeru, UMPSA membangunkan mesin pelancar yang mampu menghasilkan halaju bola secara konsisten dan boleh dilaraskan mengikut keperluan eksperimen makmal,” katanya.
Tambah Yatimah, daripada prototaip awal tersebut membuka ruang dan peluang potensi kepada penggunaan teknologi itu dalam latihan atlet sepak takraw di negara ini.

“Kaedah latihan konvensional boleh menjadi tidak konsisten disebabkan beberapa faktor seperti keletihan jurulatih, kekuatan pukulan yang berubah-ubah serta teknik pukulan tidak sekata.
“Justeru RimauStrike dibangunkan bagi menyediakan satu sistem latihan yang lebih konsisten, berulang dan boleh dikawal,” katanya.
Dalam pada itu, Yatimah berkata, PSM turut memberikan sokongan dalam bentuk pembiayaan dana bagi pembangunan versi terkini prototaip RimauStrike.
Katanya, sokongan itu membantu mempertingkat reka bentuk dan prestasi mesin agar lebih sesuai digunakan dalam sesi latihan para atlet.
“Majlis Sukan Pahang (MSP) turut memberi sokongan dari segi penggunaan teknologi ini dalam konteks latihan atlet negeri serta memberikan maklum balas berkaitan keperluan latihan sebenar dalam sukan tersebut.
“Inovasi yang dibangun dan diperkenalkan ini antara usaha penyelidik tempatan dalam membangunkan teknologi bagi meningkatkan penyelidikan dan latihan dalam sukan takraw,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penyelidik yang bertanggungjawab mencipta dan membangunkan RimauStrike ialah Pengarah STIC, Prof Madya Ts. Dr. Mohd. Hasnun Arif Hassan.
Jelasnya, penciptaan RimauStrike turut dibantu dua lagi penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) iaitu Ts. Idris Mat Sahat dan Ts. Dr. Mohd Faizal Sadali.
“Dari segi mekanisme operasi, RimauStrike menggunakan gabungan sistem lontaran bola automatik dan mekanisme roda berputar berkelajuan tinggi.
“Bola sepak takraw akan disimpan terlebih dahulu di bahagian tempat penyimpanan pada bahagian bawah mesin,” katanya.
Mohd. Hasnun yang juga Presiden Persatuan Teknologi Sukan Malaysia (MySTA) berkata, sistem itu menggunakan konsep lingkaran yang berfungsi menggerakkan bola secara berperingkat dari bahagian tempat penyimpanan ke bahagian pelancaran.
“Mekanisme ini memastikan bola dapat dihantar secara berterusan dan teratur ke bahagian atas mesin dan apabila bola sampai ke bahagian pelancaran, ia akan melalui dua roda berputar berkelajuan tinggi yang digerakkan oleh motor elektrik.
“Penggunaan mesin ini membolehkan pemain berlatih menerima bola daripada tekong secara lebih konsisten dan berulang, sekali gus membantu meningkatkan kemahiran kawalan bola, refleks serta persediaan pemain dalam menghadapi situasi permainan sebenar,” katanya.
Ditanya mengenai kos pembangunan, Mohd. Hasnun memberitahu, satu unit mesin RimauStrike dianggarkan bernilai sekitar RM25,000.
Kos tersebut ujarnya merangkumi bahan mentah, proses fabrikasi, pembangunan prototaip serta khidmat teknikal yang terlibat dalam mereka bentuk dan membina mesin berkenaan.
“Kos itu mengambil kira proses reka bentuk, pengujian serta penambahbaikan bagi memastikan mesin berfungsi dengan baik dan sesuai digunakan dalam latihan atlet sepak takraw.
“Perbelanjaan dan biaya ini berpotensi dikurangkan sekiranya mesin itu dihasilkan melalui proses pengkomersialan pada masa akan datang,” katanya.
Pada masa sama, Mohd. Hasnun memberitahu, pasukan penyelidik merancang memperluas fungsi RimauStrike dengan menambah beberapa ciri interaktif baharu.
Ia termasuk ciri kawalan arah pelancaran bola, variasi kelajuan dan putaran bola, sistem kawalan menggunakan aplikasi mudah alih serta integrasi sistem analisis data latihan atlet.
Tambahnya, selain RimauStrike, pasukan penyelidik turut menghasilkan beberapa inovasi lain dalam bidang teknologi sukan sepak takraw seperti Spike Trainer.
Ia bertujuan meningkatkan kemahiran gerakan lipatan atlet serta ProB, iaitu bandana (skarf) khas bagi mengurangkan risiko kecederaan kepala akibat tandukan bola.
“Kami berharap inovasi teknologi sukan tempatan seperti RimauStrike ini dapat dimanfaatkan semua terutama institusi sukan, sekolah, universiti serta persatuan sukan bagi meningkatkan kualiti latihan atlet sepak takraw,” katanya.
Bagi jurulatih sepak takraw Pahang, Iskandar Arshad, mesin tersebut berfungsi dan membantu kepada atlet semasa latihan untuk ‘break ball’ latihan individu dan ‘blocking’.
Namun ujarnya, masih terdapat penambahbaikan untuk RimauStrike yang akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Antaranya ketidaktepatan arah bola ke sasaran, bola yang keluar dari mesin akan dicepatkan untuk tempoh bawah lima saat dan lain-lain dalam meningkatkan kecekapan mesin ini.
“Pihak kami berbangga dan menghargai komitmen UMPSA dalam menghasilkan inovasi teknogi sebagai usaha memperkasa sukan sepak takraw negara,” katanya.














