fbpx
Perodua Myvi yang dipandu lelaki warga China secara melawan arus sebelum terlibat kemalangan di Jalan Lencongan Barat, Sungai Petani malam tadi.

Lelaki China disyaki mabuk pandu lawan arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga China yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol ditahan selepas merempuh sebuah kereta ketika memandu melawan arus di Jalan Lencongan Barat di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, suspek berusia lingkungan 50-an dikatakan memandu Perodua Myvi melawan arus sejauh kira-kira 500 meter sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga BLM yang dipandu lelaki tempatan.

Suspek yang juga pengarah sebuah syarikat hanya mengalami luka kecil di bahagian muka, manakala pemandu tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.30 malam.

“Pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Daerah Kuala Muda digerakkan ke lokasi dan cuba menjalankan ujian pernafasan terhadap pemandu terbabit kerana disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

“Bagaimanapun, lelaki itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk ditahan dan menjalani ujian darah bagi mengenal pasti tahap alkohol,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan waris atau majikan lelaki berkenaan dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Katanya, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 45C akta sama kerana enggan memberi sampel nafas atau darah.

Dalam pada itu, beliau meminta saksi kejadian atau orang awam yang merakam insiden itu tampil membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN