PETALING JAYA – Di sebalik senyuman tenang, pelakon Puteri Sarah Liyana mengakui perjalanan hidup dilalui bukan mudah, malah memerlukan kekuatan dalaman luar biasa untuk terus berdiri.
Ujar Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 41, setiap ujian mematangkan dirinya, namun sebagai manusia, hati tetap mendambakan kasih sayang dan perhatian.
“Kadang-kadang kita kena bina diri sendiri untuk jadi kuat. Tetapi kita manusia, ada masa kita mahu dimanja dan disayangi.
“Satu-satunya perkara saya buat ialah solat. Saya bercakap dengan Allah, ‘Ya Allah, kenapa jadi begini hari ini? Saya tak mahu jadi begini’.
“Saya mengadu dan berdoa agar diberikan petunjuk tentang apa perlu saya lakukan,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Tambah pelakon drama Hijrah Jannah itu, pengalaman dikhianati membuatkan dia lebih berhati-hati berkongsi cerita dengan orang lain.
“Saya sudah takut untuk bercerita dengan sesiapa kerana terlalu banyak kali ditikam dari belakang.
“Itulah cara saya untuk sembuh, hanya bergantung kepada Allah dan kekuatan diri sendiri,” ujarnya.
Paling penting kata ibu dua anak itu, proses memulihkan diri bukan sekadar melalui doa, malah turut melibatkan penerimaan terhadap diri sendiri dengan penuh kasih.
“Kalau saya boleh kembali kepada diri dahulu, saya mahu berpesan supaya jaga maruah dan jaga diri sebaiknya.
“Selepas solat, saya akan peluk diri sendiri dan berkata, ‘Sarah, awak sudah buat yang terbaik’.
“Siapa lagi mahu peluk saya? Saya perlu peluk diri sendiri,” luahnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, rata-rata tersentuh dengan kejujuran diluahkan selain menganggap kata-katanya sebagai suntikan semangat buat wanita berdepan ujian hidup.
“Sebak. Kadang-kadang kita pun rasa benda sama.
“Kuatnya Sarah, semoga terus tabah dan bahagia.
“Betul, kadang kita sendiri kena kuatkan diri sebab orang lain tak faham,” tulis beberapa netizen.
Namun, terdapat juga segelintir individu memberikan pandangan berbeza, meskipun majoriti tetap menyokong dan mendoakan kebahagiaan buat pelakon tersebut. – KOSMO! ONLINE.














