KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol hingga melawan arus membawa padah apabila menyebabkan seorang lelaki warga asing maut dalam kemalangan di KM 1.9 Lebuh Raya MEX, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5.38 pagi itu melibatkan sebuah MPV Perodua Alza (e-hailing) dan sebuah Ford Fiesta dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh MPV tersebut.
“MPV itu dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun dan sedang bergerak lurus di lorong kiri ketika kejadian.
“Kenderaan tersebut membawa dua penumpang warga Bangladesh berusia 22 dan 20 tahun yang baharu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan penumpang lelaki berusia 22 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
“Mangsa duduk di bahagian tengah tempat duduk penumpang. Seorang lagi penumpang wanita berusia 20 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.
Tambah beliau, pemandu MPV turut mengalami kecederaan di kepala, manakala pemandu Ford Fiesta hanya cedera ringan.
“Seorang penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun yang berada dalam Ford Fiesta turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama,” ujarnya.
Dalam pada itu, ujian pernafasan alkohol mendapati pemandu Ford Fiesta melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.
“Pemandu terbabit telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














