fbpx
Paparan aksi mesra berlebihan atau isu-isu berkaitan keintiman suami isteri semakin banyak dipamerkan di media sosial dan dijadikan kandungan video oleh pempengaruh.

Generasi ‘content’ tak tahu malu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAPARAN aksi mesra berlebihan atau isu-isu berkaitan keintiman suami isteri kebelakangan ini semakin banyak dipamerkan di media sosial dan dijadikan kandungan video oleh pempengaruh.
Ia dijadikan bahan lawak dan gurauan, serta menerima banyak komen daripada netizen yang terhibur.

Keadaan itu menunjukkan isu-isu sensitif, hal ‘dalam kelambu’ dan kemesraan suami isteri kini tidak lagi dianggap perkara tabu, malah diterima dianggap sesuatu yang sudah biasa dalam masyarakat.

Bagi yang menolak kandungan seperti itu, mereka akan dianggap berfikiran sempit.Lawak ‘double meaning’ atau paparan aksi mesra berlebihan suami isteri jika dibiarkan boleh memberi pengaruh kepada pemikiran golongan muda, remaja dan kanak-kanak.

Menurut Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad, perkara itu dipengaruhi beberapa faktor utama, antaranya sempadan antara ruang peribadi dan ruang awam yang semakin kabur akibat perkembangan teknologi digital.

“Selain itu, wujud keinginan yang tinggi dalam kalangan pengguna media sosial untuk mendapatkan pengiktirafan melalui ‘likes’ dan ‘views’ yang kadangkala menyebabkan rasa malu dan pertimbangan moral diketepikan.

“Pengaruh budaya popular global turut memberi kesan apabila paparan gaya hidup atau elemen keintiman dari luar negara dianggap sebagai sesuatu yang moden atau progresif dan ditiru,” katanya.

Menurutnya, rasa malu sebenarnya berfungsi sebagai panduan semula jadi yang membantu seseorang mengawal tingkah laku agar tidak melanggar batas adat, budaya dan agama yang diterima oleh masyarakat.

“Namun, pada masa kini, perhatian di media sosial menjadi sangat penting sehingga ada yang sanggup mengetepikan rasa malu dan maruah diri semata-mata untuk mengejar populariti.

“Keadaan ini berlaku kerana perhatian kini dianggap sesuatu yang bernilai tinggi sehingga orang lebih fokus kepada jumlah tontonan dan pengikut berbanding pertimbangan nilai moral dan etika,” jelasnya.

Kesan kepada keadaan ini, maka muncullah aksi-aksi tidak terduga yang dilakukan oleh segenap lapisan umur seperti pemandu bas meriba kekasih sambil memandu serta pementasan teater pelajar universiti yang memaparkan adegan atas katil.

Justeru, bagi mengawal keadan ini daripada berlarutan, Mohd. Suhaimi berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai kesederhanaan dan rasa malu yang sihat, bukan sahaja dari segi pemakaian tetapi juga dalam tingkah laku, percakapan, perhubungan dan penulisan di media sosial.

“Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia perlu terus memantau serta menapis kandungan yang tidak mematuhi nilai kesopanan budaya setempat,” katanya.

Akhir sekali, kita perlu memainkan peranan dengan tidak menonton, berkongsi dan menularkan kandungan itu.

Jangan biarkan gaya hidup Barat meresap masuk ke dalam diri kita.

Sebaliknya, kita perlu menjadikan agama, budaya dan bangsa sebagai panduan kehidupan dalam menentukan sikap kita dalam hidup bermasyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN