PETALING JAYA – Pengguna jalan raya di Kota Tinggi, Johor terkejut apabila terserempak dengan seekor gajah yang berkeliaran di tengah jalan, malam tadi.
Menerusi hantaran video di TikTok oleh Syazad02, kelihatan gajah tersebut berjalan dengan tenang dan santai di bawah cahaya lampu jalan.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang terpegun dengan saiz gajah dilihat sangat besar itu dan gelagatnya.
“Tinggi tiang lampu 8 ke 10 meter, dia berdiri separuh tiang. Besar gila,” kata Am_Zai94.
“Dia jalan macam saya jalan tengah malam nak ke dapur tapi lalu depan bilik mak,” seloroh Langitxtra_.
“Nampak gagah betul, besar dan hensem pula itu. Penuh aura melangkah dengan penuh hati hati,” ujar Ctcahayaaishah pula.
Penduduk turut diingatkan supaya segera melaporkan kejadian kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) agar keselamatan pengguna jalan raya terjamin. – KOSMO! ONLINE














