PETALING JAYA – Kejohanan Tun Ahmad Sarji Trophy Charity Pro-Am 2026 semalam berjaya mengumpul dana RM20,000 yang disumbangkan terus kepada Yayasan Institut Pengajian al-Quran.
Professional Golf of Malaysia (PGM) dalam satu kenyataan berkata, kejohanan di Saujana Golf & Country Club itu diadakan bagi memperingati jasa dan pengorbanan besar Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid selaku pengasas pertubuhan itu.
Katanya, dana itu disampaikan oleh wakil keluarga Allahyarham, Datin Suriani kepada pengarah yayasan, Kasmuni Sukardi.
“Kejohanan itu melibatkan seramai 69 amatur dan 23 pemain profesional di samping 12 syarikat korporat yang menaja kejohanan Pro-Am tersebut.
“PGM merancang untuk menjadikan kejohanan itu sebagai acara tahunan dan berharap mendapat sokongan berterusan daripada syarikat serta kelab golf untuk edisi 2027,” katanya dalam satu kenyataan.
Hadir sama, Pengurus Besar PGM, Nik Mustapha Nik Mohamed.
Menurut PGM, antara syarikat korporat yang menyumbang kepada kejohanan itu termasuk Affin Bank, Bermaz Motor Trading Sdn. Bhd., MBSB Bank, MST, Northport (M) Berhad, Shapadu Capital Sdn. Bhd., Sime Darby Property Berhad, Saujana Resort (M) Bhd., Sime UMW, Sirim, Tenaga Nasional Berhad dan Yaztech Sdn. Bhd.
Selain itu, Bukit Jawi Golf Resort, Impian Golf & Country Club, Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Kelab Rahman Putra Malaysia, Kota Permai Golf & Country Club, Mines Resort & Golf Club, Palm Resort Golf & Country Club, Penang Golf Resort, Port Dickson Golf & Country Club, . Royal Pahang Golf Club dan Saujana Golf & Country Club turut sudi menyumbang.
Antara sumbangan yang dibuat ialah pelbagai barangan termasuk baucar green fee dan hadiah cabutan bertuah.
“PGM mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang turut serta dalam Pro-Am ini serta atas liputan mereka terhadap jelajah PGM,” katanya.
Kejohanan itu dimenangi oleh pasukan media diwakili Imran Mohamad Nor (Utusan Malaysia), Sulaiman Jamain (RTM) dan Manan Samad (Harian Metro) yang bermain bersama pemain profesional, Ikhmal Basry.













