PENDANG – Tindakan pantas dua pegawai bomba berjaya menyelamatkan dua wanita termasuk seorang warga emas dalam kebakaran kiosk di sebuah medan selera di Felda Sungai Tiang, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu disedari Pegawai Bomba Muhammad Athir Maula Esaha dan Pegawai Bomba Mohamad Anas Elyas yang kebetulan sedang makan di situ selepas selesai bertugas di Pertandingan Kadet Bomba peringkat negeri Kedah.
Menurut Muhammad Athir dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, ketika sedang makan dan menyiapkan laporan mengenai program tersebut, mereka ternampak api yang agak tinggi dari sebuah kiosk di situ.
“Mula-mula saya ingat api memasak, namun ia kelihatan semakin marak. Di dalam gerai itu terdapat seorang warga emas dan seorang lagi wanita berusia lingkungan 20-an. Mereka tidak dapat keluar kerana kebakaran berlaku di hadapan pintu.
“Saya dan rakan, Pegawai Bomba Mohamad Anas dari Pusat Gerakan Operasi Kedah terus bergegas ke gerai berkenaan dan membantu kedua-dua mangsa keluar dari situ menerusi kaunter hadapan. Kedua-duanya dilihat dalam keadaan panik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, dia kemudian berlari ke sebuah masjid berhampiran untuk mendapatkan dua alat pemadam api dan pada masa sama memastikan orang awam di sekitar kawasan berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan risiko kecederaan.
“Kami kemudian membantu memadamkan kebakaran dan api berjaya dikawal sebelum dipadam sepenuhnya, sekali gus mengelakkan ia merebak ke premis lain. Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat dan dipercayai mengalami sedikit kecederaan akibat kejadian itu,” ujarnya.
Tambahnya, peniaga berkenaan kemudian mengucapkan terima kasih dan memaklumkan kebakaran berkemungkinan berpunca daripada paip gas yang tercabut semasa memasak. – KOSMO! ONLINE














