SHAH ALAM – Malaysia berpotensi kembali menjadi ‘Harimau Asia’ dalam sektor ekonomi sekiranya rakyat berbilang kaum dan agama terus bersatu dalam menghadapi cabaran semasa, khususnya susulan ketidaktentuan global termasuk krisis di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu bersandarkan kekuatan dan daya tahan rakyat negara ini dalam mengatasinya cabaran semasa termasuk tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.
Menurut beliau, semua rakyat perlu mengetepikan perbezaan agama apatah lagi politik serta kepentingan peribadi demi memastikan usaha kerajaan dalam menangani isu ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kita bersama-sama bukan sahaja berdoa namun berusaha untuk menghadapi apa juga masalah dari segi kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan akhirnya kos sara hidup.
“Ini ujian daripada Tuhan Maha Esa. Kalau kita tahan ujian dan mempunyai daya tahan dalam kesusahan, tunggulah apabila kemakmuran datang kembali, saya yakin Malaysia akan menjadi ‘Economic Tiger Asia’,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Vaisakhi di Gudwara Sahib Guru Nanak di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, keharmonian masyarakat majmuk di negara ini perlu terus dipelihara kerana ia merupakan tunjang utama kepada kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, tanpa perpaduan yang kukuh, segala perancangan pembangunan akan terjejas dan tidak mampu memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
“Walaupun dunia sering berdepan perbezaan agama yang boleh menyebabkan perbezaan namun saya yakin di Malaysia, perbezaan itu boleh diketepikan. Atas nama Malaysia, kita mesti bersatu hati demi memastikan negara terus makmur dan harmoni,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan komuniti Sikh dan institusi gurdwara yang aktif dalam kerja kebajikan tanpa mengira kaum serta agama, khususnya ketika bencana.
“Ini bukan sekadar retorik, tetapi dibuktikan melalui tindakan apabila gurdwara ini membantu mangsa banjir tanpa mengira bangsa.
“Ini adalah gesture atau body language yang baik. Kita mesti ikuti bukan sahaja kerja-kerja yang baik dan diperlihatkan bukan sahaja ungkapan tetapi dengan perbuatan ikhlas penganut-penganut Singh di Shah Alam, Selangor serta di Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














