PETALING JAYA – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mencadangkan Mahkamah Syariah di seluruh negara melaksanakan prosiding sebutan kes secara dalam talian sebagai langkah menjimatkan tenaga susulan krisis tenaga global.
Presiden PGSM, Musa Awang dalam satu kenyataan hari ini berkata, inisiatif itu melibatkan prosiding sebutan kes sahaja dan tidak termasuk perbicaraan serta keputusan yang masih boleh dijalankan secara fizikal seperti biasa.
“PGSM mencadangkan agar Mahkamah Syariah mengambil inisiatif menjalankan prosiding sebutan kes secara dalam talian atau ‘online’ yang membabitkan masyarakat awam dan peguam syarie,” katanya.
Menurutnya, dari sudut undang-undang syariah, pelaksanaan prosiding secara dalam talian atau melalui teknologi komunikasi jarak jauh adalah dibenarkan dan mempunyai asas perundangan jelas.
Katanya, antara peruntukan yang dirujuk termasuk Seksyen 40A Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 (Pindaan 2024) yang membolehkan hakim atau pendaftar menentukan prosiding dijalankan secara komunikasi jarak jauh.
“Selain itu, Seksyen 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2022) turut mentafsirkan kehadiran sebagai termasuk secara dalam talian seperti diarahkan mahkamah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, cadangan tersebut juga bertujuan mengurangkan beban tenaga selain membantu masyarakat awam dan pengamal undang-undang menyesuaikan diri dengan situasi semasa.
Ujarnya, pelaksanaan boleh dimulakan di kawasan berimpak tinggi seperti Lembah Klang dan bandar utama lain yang sering berdepan kesesakan sebelum diperluas ke seluruh negara secara berperingkat.
“Langkah ini diharap dapat memastikan kelangsungan urusan mahkamah serta menjadi sebahagian strategi menghadapi krisis tenaga global yang dijangka berpanjangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














