SEREMBAN – Seorang lelaki warga Indonesia direman dua hari bagi membantu siasatan kes menyembunyikan kelahiran dengan melupuskan mayat salah seorang bayi kembar tersebut di sebuah rumah di Labu, Nilai dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, perintah reman ke atas suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu dibuat di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Siasatan dijalankan mengikut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan tujuan melupuskan mayat,” katanya ketika pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan perbuatan seorang wanita asing menyembunyikan kelahiran bayi kembarnya terbongkar selepas mengalami pendarahan dan komplikasi kesihatan.
Polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban yang menerima seorang pesakit wanita berusia lingkungan dalam lingkungan 30-an yang mahu mendapatkan rawatan.
Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai melahirkan bayi kembar di rumah pada pukul 9.53 pagi, bagaimanapun seorang daripada mereka meninggal dunia sejurus dilahirkan sebelum mayatnya ditanam. – KOSMO! ONLINE














