KUALA LUMPUR – Bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen, mengumumkan persaraannya daripada arena badminton dunia susulan masalah kecederaan belakang yang berpanjangan.
Pemenang dua pingat emas Olimpik itu mengakui keputusan berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk dibuat, namun keadaan fizikalnya tidak lagi mengizinkan bagi meneruskan perjuangan di peringkat tertinggi.
Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menjalani pembedahan endoskopik, rawatan suntikan serta pendekatan latihan baharu, namun kesakitan yang dialami masih berlarutan.
“Disebabkan masalah belakang yang berulang, saya tidak lagi mampu untuk bersaing dan menjalani latihan pada tahap tertinggi.
“Selepas menjalani pembedahan endoskopik, beberapa suntikan rawatan, kaedah latihan baharu serta pelbagai usaha lain demi menghilangkan kesakitan yang sudah lama saya tanggung, saya dinasihatkan untuk memberi keutamaan kepada kesihatan jangka panjang.
“Menerima hakikat ini amat sukar. Namun kini saya sudah sampai ke satu tahap di mana tubuh saya tidak lagi membenarkan saya untuk terus bermain,” katanya dalam satu kenyataan.
Axelsen turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan dan jurulatih yang sentiasa berusaha membantunya kembali ke tahap terbaik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua doktor, pakar serta jurulatih saya yang telah berusaha mencari jalan terbaik.
“Sejak hari pertama saya memegang raket, saya tahu impian saya adalah untuk menjadi yang terbaik di dunia.
“Saya telah memberikan segalanya kepada sukan ini dalam usaha mencapai matlamat itu setiap hari, setiap sesi latihan dan setiap perlawanan.
“Bagi saya, ini bukan sekadar kerjaya. Inilah kehidupan saya dan saya telah melakukan segala yang termampu tanpa berkompromi,” katanya.
Mengimbas kembali perjalanan kariernya, pemain Denmark itu mengakui berasa bangga dan bersyukur dengan segala pencapaian yang diraih sepanjang berada di pentas dunia.
“Saya telah mencapai segala yang pernah saya impikan, malah lebih lagi. Saya berpeluang berdiri di pentas terbesar dan memenangi perlawanan yang menjadi impian setiap pemain.
“Sepanjang perjalanan ini, badminton mengajar saya tentang disiplin, pengorbanan dan ketahanan diri yang membentuk siapa diri saya hari ini,” katanya.
Sepanjang karier gemilangnya, Axelsen berjaya memenangi pingat emas Olimpik berturut-turut pada edisi Tokyo 2020 dan Paris 2024.
Beliau turut merangkul dua gelaran Kejohanan Dunia pada 2017 dan 2022 selain beberapa kali menjuarai Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF). -KOSMO! ONLINE














