PETALING JAYA – Tindakan dua kanak-kanak menghulurkan wang RM7 kepada Perdana Menteri di sebuah lapangan terbang baru-baru ini bukan sekadar kisah comel, sebaliknya membuka mata ramai mengenai peranan ibu bapa sebagai ‘cermin’ utama pembentukan sahsiah anak.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Public Health Malaysia (PHM), insiden melibatkan adik Uwais dan Aesha itu dikaitkan dengan konsep psikologi perkembangan dikenali sebagai ‘mirroring behavior’ atau tingkah laku meniru.
Menurut PHM, kanak-kanak ibarat ‘span’ yang menyerap apa sahaja yang dilihat di sekeliling mereka, lebih cenderung meniru perbuatan berbanding mendengar nasihat semata-mata.
“Budak-budak mungkin tidak ambil serius apa yang kita leterkan, tetapi mereka akan ‘copy paste’ apa yang kita lakukan setiap hari,” jelasnya.
PHM turut menegaskan, nilai RM7 mungkin kecil bagi orang dewasa, namun bagi kanak-kanak ia adalah sesuatu yang besar dan berharga.
“Apabila seorang anak sanggup melepaskan ‘harta karun’ mereka untuk orang lain, ini menunjukkan perkembangan empati yang sangat baik, khususnya melibatkan fungsi otak di bahagian ‘frontal lobe’,” katanya.
Tambahnya, tindakan tersebut tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil didikan dan teladan ibu bapa yang sering menunjukkan sikap suka memberi, berkongsi serta melayan orang lain dengan baik.
Dalam masa sama, PHM mengingatkan ibu bapa agar tidak hanya berbangga dengan pencapaian akademik anak semata-mata, tetapi turut memberi perhatian kepada pembentukan emosi dan empati.
“Anak yang pandai membaca emosi dan mempunyai empati tinggi sebenarnya lebih bernilai apabila dewasa kelak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.














