KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menggesa semua agensinya mempercepatkan proses bayaran kepada kontraktor bagi memastikan kelangsungan rantaian sektor pembinaan dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dalam keadaan mencabar ketika ini, isu aliran tunai kontraktor tidak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, semua agensi di bawah KKR perlu memberi keutamaan kepada pemprosesan tuntutan yang lengkap serta mempercepatkan pengesahan kerja di lapangan.
“Saya mahu semua agensi di bawah KKR memberi keutamaan kepada pemprosesan tuntutan yang lengkap, mempercepat pengesahan kerja. (Ini) serta memastikan bayaran interim dan bayaran akhir tidak tertangguh tanpa sebab yang munasabah,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini.
Beliau berkata, langkah mempercepat bayaran bukan sahaja membantu kontraktor, malah memastikan keseluruhan rantaian pekerjaan dalam sektor pembinaan terus kekal stabil.
Tambahnya, pendekatan itu selaras dengan semangat Transformasi KKR yang menuntut perubahan cara kerja ke arah lebih cekap dan berimpak tinggi.
“Pendekatan ini menuntut kita untuk berfikir di luar kebiasaan, mengadaptasi teknologi, mempercepatkan penyampaian projek serta memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberikan impak maksimum kepada rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














