fbpx
Santai di pinggir lombong menunggu umpan diragut ikan.

Aktiviti memancing penduduk perumahan Bandar Pulai Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMANGAT kejiranan dan ukhuwah dalam kalangan penduduk perumahan di Bandar Pulai Jaya, Ipoh, Perak ini terus diperkukuhkan melalui penganjuran aktiviti memancing yang diadakan secara santai.

Program yang melibatkan penyertaan penduduk pelbagai peringkat umur itu telah diadakan di lombong berhampiran kawasan perumahan kami.

Aktiviti dianjurkan secara gotong-royong oleh penduduk itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama jiran, di sam­ping menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti luar seperti meman­cing yang bermanfaat.

Lokasi lombong yang dahulunya pernah dijadikan kolam ternakan ikan air tawar seperti tilapia, rohu, jelawat, patin, keli, lampam dan catla kini telah ditinggalkan.

Peluang ini diambil kerana ikan-ikan di lombong itu tidak ‘sombong’ untuk memakan umpan.

Menurut salah seorang penganjur, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat kerana ia memberi ruang kepada mereka untuk meluangkan masa bersama rakan kejiranan dalam suasana santai dan harmoni.

“Selalunya, kami hanya bertegur sapa di depan rumah, surau atau ketika berselisih di jalan.

“Melalui program seperti ini, kami dapat duduk bersama, berbual panjang, berkongsi pengalaman, sekali gus mengeratkan lagi hubungan sesama jiran,” katanya.

Double strike ikan catla, tangkapan paling istimewa ketika program berlangsung.

Acara

Sesi memancing di lombong berhampiran menjadi medan permulaan yang cukup meriah.

Seawal pagi, peserta telah berkumpul dengan membawa kelengkapan memancing masing-masing.

Gelak tawa dan gurauan jelas menceriakan suasana, lebih-lebih lagi apabila ada dalam kalangan peserta yang berjaya menaikkan ikan bersaiz besar.

Selain memancing, aktiviti ini turut diserikan dengan jamuan ringkas. Setiap peserta perlu membawa juadah masing-masing untuk dikongsi bersama.

Suasana makan beramai-ramai di tepi lombong menambahkan lagi kemesraan antara penduduk.

Pengerusi surau, Ustaz Suhaili menyatakan bahawa program se­perti ini wajar diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, malah mampu mengurangkan jurang antara generasi muda dan golongan dewasa.

“Anak-anak muda pun turut serta. Mereka dapat belajar daripada orang lama tentang teknik memancing, dan pada masa sama, kita dapat mendekatkan mereka dengan komuniti,” ujarnya.

Penduduk berharap agar aktiviti seumpama ini dapat dijadikan acara berkala dalam kalendar komuniti Perumahan Bandar Pulai Jaya sebagai salah satu usaha memupuk semangat kejiranan yang semakin pudar di kawasan bandar.

Jelasnya, melalui aktiviti santai seperti memancing, hubungan sesama jiran menjadi lebih akrab, sekali gus mewujudkan suasana perumahan yang lebih harmoni, mesra dan bersatu padu.

IKAN CATLA

Ikan catla merupakan spesies ikan air tawar yang berasal daripada keluarga ikan kap Cyprinidae. Nama sainti­fiknya, Labeo catla dan dalam bahasa Inggeris ia dipanggil Indian major carp.Ia dikenali secara meluas di Asia Selatan terutamanya di India, Bangladesh dan ­Pakistan kerana diternak untuk pasaran makanan.
Ikan ini selalu disalah anggap sebagai ikan rohu atau satu lagi spesies dari Thailand iaitu Siamese carp berikutan rupanya yang seakan-akan sama.
Namun, ia masih ada profilnya yang tersendiri seperti badan tegap, kepala besar serta mulut lebar dan melengkung ke atas.
Selalunya, ia berwarna kelabu gelap pada bahagian atas dengan sisik hitam di bahagian sisi.
Warnanya juga akan mengikut perairan yang menjadi habitatnya. Biasanya, ia akan menjadi cerah jika perairannya jernih, sebaliknya menjadi gelap di
air keruh.
Ikan catla boleh mencapai saiz yang sangat besar, dengan rekod panjang melebihi satu meter dan berat mencecah lebih 20 kilogram.
Mungkin ada yang lebih besar dari itu.
Di Malaysia, ikan ini ada yang memanggilnya sebagai ikan karak.
Walaupun populasinya tidak banyak di negara kita, namun ia masih boleh ditemui dalam sektor perikanan darat dan sesetengah kolam pancing air tawar.
Catla biasanya makan makanan di permukaan dan bahagian pertengahan air.
Ia menggunakan insang dengan struktur penapis (gill rakers) untuk menapis organisma kecil dari dalam air.
Diet utamanya termasuk zooplankton, fitoplankton, serangga akuatik kecil dan bahan organik halus (detritus).
Spesies ini lebih sesuai hidup di perairan air tawar yang panas, air bergerak perlahan dan mempunyai oksigen mencukupi seperti kolam ternakan, lombong serta tasik.
Di habitat semula jadinya, catla membiak ketika musim monsun, apabila paras air sungai meningkat dan menyediakan keadaan sesuai untuk pembiakan.
Dalam industri akuakultur, pembiakan biasanya dilakukan melalui teknik rangsangan hormon (induced spawning) di pusat penetasan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN