fbpx
Syed Hussain (kiri) menunjukkan sotong jarum yang diperoleh secara candat darat di Pantai Kubang Badak, Kuala Nerus kelmarin.

‘Tak perlu sewa bot, campak joran dapat sotong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Kawasan pesisir pantai di daerah ini dan Kuala Terengganu mula diserbu pemancing untuk memancing sotong sejak seminggu lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati, beberapa pantai peranginan se­perti Pantai Kubang Badak, Pantai Teluk Ketapang dan Pantai Seberang Takir menjadi tum­puan kaki pancing seawal pukul 6 petang hingga awal pagi.

Seorang pemancing, Syed Hussain Al Idrus, 30, berkata, musim mencandat sotong biasanya bermula pada April, namun keadaan berbeza tahun ini apabila sotong mulai banyak kira-kira seminggu lalu.

“Beberapa spesies sotong se­perti jarum, torak, ketupat, kapas dan mabang mudah didapati di kawasan lubuk di tengah laut dan sebahagiannya mula merapati pantai Terengganu,” katanya ketika ditemui di Pantai Kubang Badak kelmarin.

Syed Hussain berkata, sotong jarum paling mudah mengena umpan kerana spesies itu gemar menghampiri pesisir pantai terutama pada bulan mengambang.

Seorang lagi pemancing, Afiq Aizuddin Zamri, 30, pula berkata, aktiviti mencandat darat merupakan alternatif terbaik yang lebih menjimatkan kos dan masa bagi menangkap sotong.

“Tidak perlu sewa bot mence­cah ribuan ringgit dan menghabiskan masa semalaman di tengah laut untuk mencandat sotong. ‘Campak’ joran, insya-Allah boleh dapat sotong,” katanya.

Tambahnya, biarpun hasilnya tidak sebanyak berbanding mencandat di tengah laut, tangkapan sotong di pesisir pantai itu tetap mencukupi untuk dibawa pulang sebagai hidangan percuma seisi keluarga di rumah.

Katanya, kadang-kala dia membawa isteri dan anak-anak untuk mencandat darat terutama pada hujung minggu sebagai aktiviti riadah sekeluarga tanpa perlu risau ‘mabuk laut’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN