fbpx
ZII JIA

Zii Jia berisiko terlepas aksi Piala Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEDUDUKAN Lee Zii Jia dalam skuad Piala Thomas kini menjadi tanda tanya apabila Datuk Seri Lee Chong Wei menetapkan syarat ketat bahawa hanya pemain yang benar-benar cergas akan diterbangkan ke Denmark.

Susulan laporan kecederaan buku lali yang dialami pemain profesional itu, Chong Wei menegaskan pasukan negara tidak akan mengambil risiko membawa pemain yang cedera ke kejohanan yang berlangsung di Horsens, Denmark, dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Ketiadaan Zii Jia dalam sesi latihan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (BAM) setakat ini menimbulkan kebimbangan dalam kem negara, lebih-lebih lagi kejohanan tersebut hanya berbaki kurang tiga minggu.

Chong Wei yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, mengakui pihaknya masih belum memperoleh gambaran jelas mengenai tahap kecederaan yang dialami pemain itu kerana Zii Jia belum melaporkan diri untuk latihan bersama.

“Saya tahu semalam (kelmarin) dia tidak datang latihan kerana kecederaan buku lalinya yang rasa tidak selesa. Kita tidak tahu sejauh mana keadaannya itu.

“Saya juga sudah bercakap dengan doktor Institut Sukan Negara (ISN) dan CEO, mereka juga mahu membantu Zii Jia untuk melihat keadaannya dan bersedia untuk Piala Thomas kali ini,” katanya.

Menurutnya, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen akan terus memantau perkembangan semasa Zii Jia termasuk mendapatkan maklum balas terkini daripada jurulatihnya, Liew Daren.

Katanya, segala keputusan penyertaan Zii Jia ke bergantung kepada tahap pemulihan kecederaan buku lali yang dialami pemain berkenaan sebelum tarikh akhir pendaftaran nama pemain ke Piala Thomas pada 11 April ini.

“Saya dan Kenneth sudah setuju, kita tidak akan bawa pemain yang tidak 100 peratus cergas ke Piala Thomas. Ini kejohanan besar, ibarat Piala Dunia dalam sukan bola sepak. Kita harap Zii Jia cepat pulih. Nama perlu dihantar pada 11 April ini, jadi harap ada berita baik sebelum tarikh itu,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN