PORT DICKSON – ‘Tidak sabar hendak ke Jordan dan berbakti kepada keluarga selepas tamat belajar nanti.”
Demikian kata penerima keputusan cemerlang 11A+ Sijil Pelajaran Malaysia, Fakhrul Iman Zainudin, 18, selepas mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Jordan dalam pengkhususan ekonomi dan kewangan Islam.
Tawaran itu diberikan sendiri oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bawah Program Pembangunan Bakat Muda (YTP), Mara kelmarin.
Kata Fakhrul Iman, seawal hujung bulan ini atau selewat-lewatnya bulan hadapan dia akan mengikuti kursus dan sesi pembelajaran di Pahang terlebih dahulu sebelum menyambung pelajaran ke Jordan yang dijangka pada tahun ini juga.
“Alhamdulilah, memang rezeki bila dibantu oleh pihak Mara. Semasa jumpa Pengerusi Mara, air mata saya dah gugur sebab agensi berkenaan akan taja saya belajar dan ini tentunya akan dapat meringankan beban keluarga saya.
“Walaupun gugup serta jantung hampir terkeluar semasa Datuk Dr. Asyraf tebuk bacaan serta hafalan al-Quran, saya berasa sangat lega kerana ini merupakan peluang saya untuk mengubah nasib keluarga saya nanti.
Jelasnya, dia akan menerima segala nasihat Pengerusi Mara untuk ambil bidang syariah itu dan soal menjadi pensyarah atau tidak, dirinya serahkan kepada aturan Allah selepas habis belajar nanti.
Ditanya mengenai penerimaan masyarakat selepas kejayaannya tular, dia menyatakan banyak menerima ucapan tahniah tentunya dari media sosial serta pelanggan yang datang ke warung bapanya di Taman Orkid, Telok Kemang.
Mengenai dirinya yang tular menjadi imam solat tarawih baru-baru ini kata Fakrul Iman, perkara itu berlaku secara kebetulan sahaja ketika Ramadan dia tidak tinggal di asrama.
“Jadi mereka jemput saya jadi imam. Setiap hari sekitar 40 jemaah yang akan saya imamkan.
“Segala pujian dari penduduk ini akan saya ingat dan insya-Allah saya akan menyumbang bakti juga kepada mereka nanti bila tamat belajar nanti,” katanya.
Fakhrul Iman yang merupakan tahfiz sejak di tingkatan 3 berjaya mendapat kesemua A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Prinsip Perakaunan, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Hifz Al-Quran dan Maharat al-Quran.
Lebih manis lagi, anak keempat daripada lima beradik hasil perkongsian hidup Zainudin Abdul Latif, 63, dan isteri, Zarina Sood, 54, itu merupakan calon ketiga terbaik di negeri ini bagi keputusan SPM 2025 berkenaan.















